"Jihad Atau Bunuh Diri?" Kupasan Anak Mantan Presiden PAS, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor

MENYEBUT syahid, pastinya setiap umat Islam yang beriman mengimpikan untuk menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan yang mulia demi memperjuangkan agama Allah SWT itu.

Selain dijanjikan ganjaran yang tidak terhingga di akhirat, golongan yang syahid juga turut dimuliakan di dunia berikutan sumbangannya yang dianggap tidak ternilai kerana mempertahankan agama sehingga sanggup menggadaikan nyawa.

Begitu pun, oleh sebab taksub untuk mengejar ‘makam tertinggi’ tersebut, dijadikan sandaran oleh segelintir umat Islam untuk menyalahertikan kalimah jihad yang menjadi laluan bagi mengecap syahid tersebut.

Tanpa mengambil kira pandangan dan usul periksa daripada pelbagai aspek, tidak kira di mana dan kumpulan siapa sahaja yang berperang dengan membawa erti kata jihad, golongan itu juga akan turut serta.

Terbukti berlaku apabila sekurang-kurangnya 30 rakyat di negara ini telah berlepas ke Syria untuk menyertai sebuah kumpulan yang digelar pelampau Islam iaitu, kumpulan Negara Islam (IS) menurut laporan sebuah perunding keselamatan antarabangsa.

Hal ini menimbulkan kebimbangan banyak pihak berikutan kumpulan militan tersebut sering dikaitkan dengan keganasan, pembunuhan orang yang tidak berdosa dan juga tindakan-tindakan yang menyalahi akhlak Islam.

Penterjemah kitab Fiqh Jihad karangan ulama terkemuka dunia, Dr. Yusuf al-Qaradhawi, Ahmad Fauwaz Fadzil Noor berkata, kalimah jihad yang asalnya digunakan sebagai sandaran untuk memperjuangkan Islam dikhuatiri hanya sia-sia apabila bertentangan dengan konsep jihad sebenar.


Beliau berkata, ini melihat kepada slogan jihad yang diperjuangkan oleh kumpulan itu yang dilihat tertumpu kepada peperangan semata-mata tanpa mengambil kira pembahagian jihad yang lain.

“Walaupun memetik daripada ayat al-Quran yang membenarkan peperangan seperti dinyatakan oleh Allah SWT dalam surah al-Taubah ayat 123 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Perangilah orang-orang kafir musyrik yang berdekatan dengan kamu dan biarlah mereka merasai sikap kekerasan (serta ketabahan hati) yang ada pada kamu dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang-orang yang bertakwa (dengan memberikan pertolongan-Nya), namun ayat tersebut ditafsirkan dalam makna yang sempit.

“Jihad dalam konteks yang ditunjukkan oleh kumpulan IS ini adalah dilihat meletakkan peperangan sebagai kaedah utama. Sedangkan di dalam Islam berperang adalah cara terakhir selepas tiada cara lain sebagai penyelesaian.

“Ia sebagaimana seorang doktor yang ingin merawat pesakit, pembedahan adalah jalan yang terakhir yang diambil setelah tiada ikhtiar selepas menjalani proses rawatan lain,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Tidak boleh menghukum pelaku sebagai berdosa atau sesat, Fauwaz berkata, kaedah fikah hanya membincangkan sesuatu hukum, sama ada membolehkan atau tidak bersandarkan syarak.

Namun tambahnya, selepas disepakati oleh kebanyakan ulama memutuskan tidak sah, maka individu yang ingin menyertai kumpulan IS dinasihati mempelajari ilmu berhubung jihad bukan sekadar mengikut hawa nafsu.

“Seorang ulama sufi, Hassan al-Basri pernah menyebut ketika hayatnya iaitu kira-kira lebih 1,200 tahun lalu berkata, golongan yang kuat ibadah tidak mungkin akan mengangkat senjata ke atas golongan Muslim yang lain.

“Perkara ini dilihat dilakukan oleh IS yang bertindak bukan sahaja memerangi orang kafir tetapi golongan Muslim lain yang tidak mengikuti fahaman mereka serta golongan yang tidak berdosa seperti wartawan, orang awam dan sebagainya.

“Sedangkan jihad membawa maksud bersungguh-sungguh memerah keringat bukannya Qatala yang membawa maksud membunuh atau berperang. Konteks jihad juga sangat luas iaitu merangkumi jihad membangunkan ekonomi, sosial, politik, pendidikan kesihatan dan juga pembangunan,” jelasnya.


Fauwas berkata, perdamaian melalui dialog serta rundingan merupakan kaedah terbaik yang boleh diambil berbanding kaedah peperangan yang hanya mengakibatkan kemusnahan harta benda, kerugian dan juga kematian orang yang tidak berdosa.

MEMPUNYAI kekuatan ketenteraan dianggar hampir 100,000 ahli serta aset bernilai sekurang-kurangnyaAS$2 bilion, secara tidak langsung menjadikan kumpulan IS sebagai kumpulan yang penuh dengan teori konspirasi.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, walaupun dilihat mempunyai aktiviti sendiri bagi mengumpul dana dan ketenteraan, namun kemunculan kumpulan itu yang dianggap secara tiba-tiba agak mengelirukan.

Ini katanya, berikutan banyak fakta yang dilaporkan tidak konsisten dan mempunyai bukti kukuh untuk membuktikan kegiatan dan kemunculan kumpulan militan itu.

“Melalui maklumat risikan Iraq, aset kumpulan IS bernilai AS$2 billion. Ini bermakna ia dilihat sebagai organisasi militan terkaya di dunia. Hampir tiga suku daripada jumlah itu dianggarkan diperoleh apabila IS menawan Mosul, Iraq pada Jun lalu.

“Ini termasuk kira-kira AS$429 juta yang dirampas dari bank pusat Mosul, bersama berjuta lagi dan emas yang dirampas daripada beberapa bank yang lain di Mosul. Namun semua maklumat ini masih dipersoalkan sama, ada ia benar-benar sah atau sebaliknya,” katanya.

BERSELINDUNG dengan istilah jihad demi menubuhkan Dawlah Islamiyah (negara Islam) dan menentang golongan kafir, IS cuba mengaburi mata masyarakat dunia, terutamanya umat Islam untuk mengikuti gerakan mereka dalam usaha memperluas lagi pengaruh di seluruh dunia.

Penganalisis Politik Timur Tengah dan gerakan Islam Kontemporari, Dr. Maszlee Malik bagaimanapun berkata, melihat kepada ideologi gerakan yang dibawa, istilah jihad yang digunakan oleh kumpulan pelampau Islam itu disifatkan sebagai propaganda dan kesesatan dalam memperdayakan umat Islam.

Perkara itu turut disepakati oleh kebanyakan para ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah (ASWJ) menerusi persepakatan pelbagai kesatuan ulama negara Islam yang terdiri daripada kalangan ulama-ulama terkemuka di seluruh dunia.


“Kira-kira 126 ulama Islam terkenal dari seluruh dunia juga telah menandatangani kenyataan bersama yang dibacakan oleh presiden Council on American Islamic Relations (CAIR), Nihad Awwad mengutuk IS dan juga menolak keganasan dan juga khalifah yang diisytiharkan oleh IS pada September lalu.

“Mereka juga menolak keganasan IS yang membunuh rakyat tidak berdosa termasuk golongan umat Islam yang tidak bersetuju dengan fahaman mereka serta menghalau golongan Kristian dan Yazidi dengan penuh kezaliman. Bahkan, ramai di antara mereka yang telah melabelkan IS atau Da’esh sebagai Khawarij di zaman moden.

“Para ulama dari seluruh dunia termasuk Kesatuan Umat Islam Sedunia juga telah menyatakan pendiriannya menolak pengisytiharan Dawlah Islamiyah dan pengisytiharan Khilafah oleh Abu Bakar al-Baghdadi disifatkan sebagai tidak sah dan hanya mewakili kumpulan pengganas yang kecil,” katanya.

Malah, tambahnya, ulama beraliran Salafi juga turut mengecam dan menjelaskan penyelewengan IS termasuk para pemimpin al-Qaeda yang merupakan pertubuhan yang bertanggungjawab melahirkan IS.

Oleh itu, jelas Pensyarah Kanan di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh Kuliah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, bagi mereka yang mengikut konsep jihad IS dengan alasan ingin mendapatkan syahid memperjuangkan negara Islam itu secara tidak langsung menolak persepakatan keputusan ulama seluruh dunia.

Sementara itu, Maszlee berkata, konsep jihad IS adalah bertentangan dengan ajaran Islam kerana kumpulan militan itu memegang prinsip negara umat Islam selain IS adalah negara kafir dan wajib diperangi.

“IS menegaskan umat Islam pada zaman kini wajib melaksanakan ‘Jihad Global’ atau Jihad Hujumi (serangan ofensif). Bagi mereka keadaan umat Islam yang ditindas dan diperangi oleh kuasa barat menuntut umat Islam untuk melancarkan jihad di seluruh dunia.

“Golongan IS juga menyakini bahawa negara umat Islam yang mengamalkan sistem pemerintahan moden dianggap mengikuti syiar kekafiran dan didominasi oleh undang-undang buatan manusia dan bukannya hukum Islam, maka IS mengkategorikannya sebagai negara kafir.

“Bagi mereka, umat Islam yang tidak melaksanakan jihad ataupun mentafsirkan jihad dengan urusan selain peperangan telah melakukan dosa besar dan bukanlah Muslim yang sebenar,” ujarnya.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, video yang tersebar yang dikatakan perbuatan IS juga diragui kerana dikenal pasti tidak kelihatan benar.

“Pada 2010, Washington Post ada menyiarkan artikel oleh bekas perisik tentera, Jeff Stein telah menulis secara terperinci bagaimana CIA mengaku membuat filem video Osama Bin Laden yang palsu ketika perang Iraq 2003 sedang dirancang.

“Agensi itu memang ada mengeluarkan video menunjukkan Osama dan rakan-rakan duduk mengelilingi unggun api sedang minum arak. Salah seorang bekas CIA mendedahkan mereka mengguna pelakon daripada kalangan staf CIA yang mempunyai kulit sedikit gelap.

“Jika ini benar, apa yang menghalang video IS juga melalui proses yang sama. Mungkin ini dianggap mustahil, tetapi masih boleh dibincangkan,” katanya.

Begitu juga tambahnya, pembunuhan David Haines dan Alan Henning oleh IS mungkin bukanlah petugas kemanusiaan sebagaimana yang dilaporkan.

“Mengikut sumber lain, berdasarkan profil, Haines bertugas di syarikat worked Astraea. Mengikut laman sesawang Astraea , program syarikat itu adalah untuk Sistem Pesawat Tanpa Pemandu, UAS (Unmanned Aircraft Systems) iaitu membina drones.

“Alan Henning pula mungkin tidak berada di Syria untuk mengelak laporan media. Mengikut laporan The Daily Mail, konvoi kemanusiaan yang dikatakan disertai oleh Alan Henning dan diculik IS, kini disiasat atas dakwaan ada kaitan dengan kumpulan militan.

Setengah teori konspirasi menyatakan mereka berdua adalah fixers iaitu agen yang menyamar sebagai jurugambar wartawan. Oleh itu, tidak mengejutkan jika berita dan visual melalui ubahsuai untuk menggambarkan keadaan di Syria, ujarnya.

Satu lagi persoalan besar mengenai banyak konspirasi IS kata Azmi ialah bagaimana warga Amerika direkrut oleh IS tanpa dapat dipantau oleh agensi seperti NSA yang bertugas sepanjang masa untuk mengesan apa yang digelar jaringan pengganas.

“Teori yang lebih kritikal mengatakan, NSA tidak mahu menyekat mereka keluar untuk terlibat menjadi pejuang di kawasan konflik seperti Syria kerana Amerika Syarikat perlu mewujudkan perang untuk kepentingan ekonominya,” jelasnya.

Azmi juga tidak menolak kemungkinan kumpulan militan IS adalah merupakan Operation Hornet’s Nest iaitu istilah yang diguna untuk memporak-perandakan kestabilan Asia Barat melalui kegiatan golongan ekstremis antarabangsa yang di bantu oleh CIA, MI6 dan Mossad.

“Bekas agen NSA dan CIA, Edward Snowden, mendakwa memiliki dokumen untuk membuktikan hal ini dalam artikel yang diterbit dalam Gulf News. Snowden menyatakan agen perisikan tiga negara mewujudkan organisasi pengganas (terrorist) yang boleh menarik golongan ekstremis dari seluruh dunia pada satu tempat , menggunakan strategi yang digelar The Hornet’s Nest.

“Pembocoran maklumat lagi yang didedahkan oleh Snowden memberitahu ketua kumpulan IS, Abu Bakar al-Baghdadi diberi latihan intensif ketenteraan selama setahun oleh Mossad.

“Dengan menarik ekstremis antarabangsa di Asia Barat, negara Yahudi akan mempunyai hak untuk mempertahankan dirinya dan dengan itu mempunyai justifikasi menghapus gerakan Islam seluruhnya. Ini memang akan disenangi oleh kuasa barat,” katanya. -Utusan