Puchong – Serbuan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen
Selangor bukan sahaja menahan warga asing, tetapi turut membawa kepada
penemuan sebuah lokasi memproses rojak dan cendol dalam keadaan
menjijikkan yang tersorok di sebuah kawasan pembinaan di pinggir bandar
ini, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira jam 3 pagi itu, didapati kawasan pemprosesan
makanan itu seolah-olah seperti tempat pembuangan sampah kerana dipenuhi
sampah serta air bertakung selain berbau busuk.
Difahamkan, kawasan pemprosesan itu sudah beroperasi lebih setahun
lalu turut menggaji warga asing sebagai penjual cendol dan rojak dengan
menaiki motosikal serta lori di sekitar daerah ini dan beberapa daerah
berdekatan.
Lebih menjijikkan, perkakasan yang digunakan untuk menyediakan rojak
dan cendol turut dijadikan tempat merendam seluar dalam milik pekerja
dan diletakkan hampir antara satu sama lain.
Selain itu, keadaan dapur yang dijadikan tempat membuat kuah rojak
pula dipenuhi sampah dan tidak diurus dengan baik sehingga boleh
menyebabkan tahap kebersihannya diragui. – myMetro