Langkah drastik kerajaan mengapungkan harga bahan bakar RON95 dan
Diesel yang diumumkan beberapa hari lalu menimbulkan seribu satu
pertanyaan masyarakat.
Apa yang dilihat, pelaksanaan berkuatkuasa 1 Disember tersebut adalah
baik untuk kewangan individu, namun ianya akan jadi beban andai harga
minyak tiba-tiba mencanak naik.
Ditemui selepas merasmikan MAHA 2014 di Serdang, Sabtu lalu, Datuk
Seri Najib Tun Razak telah memberikan penjelasan berhubung keraguan
tersebut.
Ujarnya, tujuan utama kerajaan mengumumkan tindakan pengapungan
tersebut adalah untuk memberi faedah kepada rakyat setelah harga minyak
mentah dunia berlegar di sekitar USD 80 setong.
“Jadi bila ia menurun kita
boleh buat pengubahsuaian dengan lebih cepat. Iaitu pada 1 haribulan
tiap-tiap bulan kita akan buat pengubahsuaian mengikut pasaran harga
dunia dalam bulan yang lalu. Dengan cara itu kita boleh beri manfaat
kepada pengguna dan rakyat dengan cara yang lebih pantas lagi.
"Keduanya dengan cara ini kita boleh
memindah subsidi yang kita jimat dalam bentuk peruntukan yang lebih
untuk pembangunan sosio-ekonomi. Kita boleh tambah peruntukan utk
pembangunan luar bandar, pendidikan, kesihatan dan semua yang melibatkan
sektor-sektor berkaitan kesejahteraan rakyat.
"Cuba bayangkan kalau kita boleh jimat
antara RM10 ke RM20 billion setahun sudah tentu kita boleh tambah
peruntukan dalam sektor-sektor yg lebih penting,” petik kenyataan beliau yang disiarkan portal AgendaDaily.
Selain itu Najib berkata, situasi ini juga
diambil bagi mendidik rakyat bahawa penurunan mahupun kenaikan harga
minyak bukanlah berpunca daripada kerajaan.
“Jadi jangan kerajaan dipersalahkan waktu
harga naik sebab di luar kawalan mana-mana kerajaan sekalipun. Ini harga
pasaran sedunia. Jadi bila kita didik pasal ini rakyat akan faham. Yang
jadi masalahnya apabila kita buat perubahan harga minyak selama ini
kerajaan dipersalahkan.”
Namun demikian jika harga minyak
kembali naik, kerajaan kata Najib, memiliki strategi lain bagi
mengurangkan beban yang ditanggung rakyat.
“Sebaliknya kalau harga terus melambung naik
dan rakyat menerima tekanan, kerajaan ada cara-cara lain nak tolong
rakyat. Maknanya bukan kita hapus subsidi sama sekali. Tidak.”