2 kad "BR1M" versi Indonesia yang dilancar Jokowi |
JAKARTA – Presiden baharu Indonesia, Joko Widodo atau lebih mesra
disebut Jokowi pada Isnin melancarkan dua jenis kad sosial khusus untuk
golongan miskin yang membolehkan isirumah terbabit mendapat perkhidmatan
tertentu tanpa dikenakan apa-apa bayaran.
Kad dikenali sebagai Kartu Keluarga Sejahtera dan Kartu
Indonesia Sehat itu menyerupai konsep Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M)
bakal memudahkan kelompok miskin menerima buku sekolah dan pakaian
seragam selain rawatan perubatan secara percuma.
Ribuan penduduk berbaris panjang untuk mendapatkan dua kad pintar itu di lima buah pejabat pos sekitar Jakarta.
Program fasa pertama melibatkan sejuta keluarga miskin sebelum
diperluaskan ke seluruh negara meliputi 15 juta isirumah berpendapatan
amat rendah.
Program bantuan kewangan khas pemerintah itu adalah sebahagian
daripada janji Jokowi semasa kempen pemilihan jawatan presiden awal
tahun ini dan ia membabitkan bajet sebanyak 6.2 trilion rupiah (kira-kira RM1.7 bilion).
Langkah itu juga bagi membendung kemarahan rakyat susulan tindakan
Jokowi yang bakal menaikkan harga petrol dan diesel hampir 50 peratus.
Selain itu, beliau memperkenalkan kad kebajikan yang boleh ditebus tunai sebanyak 206,000 rupiah (kira-kira RM57) Januari ini.
Timbalan Setiausaha Pasukan Kebangsaan Pembasmian Kemiskinan, Bambang
Widianto berkata, kad kesihatan itu akan membantu 86.4 juta orang
miskin dan pemerintah berharap dapat menurunkan kadar kemiskinan
sehingga 30 peratus di seluruh negara. – Agensi