JPN Kedah Lancar "Ops Payung"

ALOR SETAR - Operasi Payung (Ops Payung) adalah pelan tindakan yang dirangka untuk memastikan calon yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak tercicir jika terlibat dalam bencana alam seperti banjir dan puting beliung.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah, Datin Azuyah Hassan berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada guru, pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) bertanggungjawab untuk membawa pelajar ke pusat peperiksaan.

Menurutnya, calon terbabit akan ditumpangkan di pusat peperiksaan lain supaya tidak tercicir jika pusat itu terlibat dalam bencana alam.

"Pelajar yang terlibat dengan bencana alam akan ditempatkan di asrama sekolah atau sekolah berhampiran buat sementara waktu untuk memudahkan mereka mengambil peperiksaan seperti biasa walaupun tidak memakai uniform sekolah.

"Kita sentiasa berwaspada dan mencari alternatif untuk memastikan calon dapat menduduki peperiksaan dengan lancar," katanya kepada media di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), di sini, semalam.

 Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Azuyah berkata, sebuah pusat peperiksaan di Ma'ahad Al-Syafie, Pendang dilanda banjir dua hari lalu yang menempatkan enam calon.

"Kita sudah membuat persediaan awal untuk menumpangkan calon terlibat di sekolah berhampiran iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Ibrahim.

"Bagaimanapun syukur air mula surut semalam dan hari ini (semalam) pusat peperiksaan boleh digunakan seperti biasa dan tiada calon tumpang," katanya.

Beliau berkata, segala persiapan dilaksanakan secara rapi termasuk mewujudkan bilik gerakan di setiap PPD berikutan hujan sering berlaku pada waktu petang menyebabkan banjir di beberapa kawasan.

Difahamkan antara kawasan berisiko banjir ialah daerah Kuala Muda, Kulim dan Baling.

Dalam pada itu, 36,526 pelajar menduduki SPM melibatkan 280 pusat peperiksaan di Kedah.

Lapan calon mengambil peperiksaan di hospital iaitu Hospital Langkawi (1), Hospital Sultanah Bahiyah (1), Hospital Baling (2), Hospital Sik (1), Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani (2) dan Hospital Kulim (1).

Sementara lapan calon sekolah integriti menduduki peperiksaan di Penjara Sungai Petani.

Bagi peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), jumlah calon ialah 12,944 orang.

Sumber: Sinar Harian