Gambar Hiasan |
SEREMBAN – “Ada warga asing yang duduk di sini mabuk, pengotor dan suka bergaduh.’’
Itu kata Pengerusi Badan Pengurusan Bersama Flat Taman Semarak 2 Nilai dekat sini, Abdul Razak Nasir, yang menyifatkan kehadiran warga asing di kawasan ini sedikit sebanyak memberikan palitan negatif terhadap penduduk setempat.
Malah kata beliau, kehadiran mereka di sini bukanlah dihantar oleh pihak kilang sebaliknya menerusi ejen yang menempatkan mereka di sini sekaligus menambah populasi warga asing di situ.
“Entah bila-bila kami pun tidak tahu, yang kami tahu mereka sudah berada di sini dan ejen ini menempatkan warga asing di sini, itu yang kadang kala macam-macam perangai buruk kita boleh lihat apabila mereka berada di sini.
“Kalau kaki botol itu perkara biasa di sini tetapi apa yang kami tidak tahan apabila mereka bergaduh sesama sendiri. Nasib baiklah kami sekarang ini bekerja rapat dengan pihak polis untuk meleraikan keadaan,’’ ujarnya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.
Jelas Abdul Razak, jumlah penduduk tempatan yang berada di 18 buah blok Flat Taman Semarak ini adalah sebanyak lapan peratus, manakala selebihnya diduduki oleh warga asing.
Sementara itu seorang penduduk Salmiah Ramli, 46, tidak semua warga asing ini bermasalah tetapi ada sebahagiannya boleh memahami sensitiviti masyarakat setempat.
Dia yang telah menduduki kawasan ini sejak 20 tahun bagaimanapun mengakui berasa kurang selesa dengan perangai warga asing ini lebih-lebih lagi apabila mabuk selepas mengambil minuman keras.
“Itu yang paling saya tidak tahan, kalau sudah mabuk itu macam-macam hal boleh terjadi bergaduh sampai berdarah-darah. Kita pun berasa kurang selesa bila sudah hal-hal seperti ini.
“Bagaimanapun kita pun rasa keselamatan terjamin bila ada pegawai dan anggota polis berada di sini. Kita hendak buat kerja pun mudah tidak ada masalah,’’ katanya. -Utusan