Kasih Ayah Pada Anak Hidap Kanser Yang Teringin Naik BMW...

Benarlah kata orang bahawa kasih sayang ibu bapa itu bagai lautan tiada bertepi, sepanjang hayat dan tiada tolok bandingnya.

Mungkin itulah yang dibuktikan seorang bapa, Hasni Hasan, yang cuba mengembirakan anaknya, Rayyan, yang bertarung nyawa dengan penyakit kanser namun teringin sangat untuk menaiki kereta model BMW.

Biarpun perlu berdepan risiko dengan "mulut-mulut lazer" dari kalangan pengguna laman sosial internet, demi memenuhi hasrat anaknya, Hasni tidak segan silu merayu mana-mana pihak yang memiliki kenderaan mewah itu menerusi laman Facebook.

Lebih menyentuh hati, suara hati Hasni dan keinginan adik Rayyan itu mendapat reaksi positif dari kalangan pengguna internet dan sebuah kelab kenderaan mewah itu, BMW E60, tampil menyatakan kesanggupan mereka memenuhi permintaan tersebut.

Kelab itu berbesar hati untuk membawa adik Rayyan berjalan-jalan menaiki kereta BMW pada Rabu, 19 November ini.

Semoga kesudian kelab tersebut menghadiahkan sedikit sinar kegembiraan buat adik Rayyan, sekaligus membuktikan kemurahan hati masyarakat Malaysia yang prihatin dan sedia bantu-membantu antara sesama kita.

Kami di KedahNews.com berdoa agar adik Rayyan akan segera sembuh agar dapat meneruskan kehidupan yang mengembirakan seperti kanak-kanak lain dan sentiasa berada di bawah rahmat dari Allah SWT.
 
Ini baru betul Malaysia! -KedahNews.com