Kedah Senarai 15 Perkataan Larangan Bagi Bukan Islam

ALOR SETAR - Kedah bakal mewartakan 15 perkataan ekspresi dalam Islam yang tidak boleh digunakan oleh bukan Islam, sama ada dalam bentuk cetakan mahupun pengucapan umum.

Exco Agama, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid berkata, perkara itu diputuskan pada persidangan Dun lalu, selepas dibuat pindaan Rang Undang-Undang Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam (Pindaan) 2014.

“Enakmen 1988 itu dipinda bagi memelihara kesucian agama Islam yang kebelakangan ini diserang dari pelbagai sudut. Perkataan berkenaan adalah ayat dalam al-Quran dan diguna seharian masyarakat Melayu Islam,” katanya.

Perkataan itu ialah, Assalamualaikum, Insyaallah, Allahu Akbar, Subhanallah, Alhamdulilah,  Lailahaillallah, Masyaallah, Astagfirullahalazim, Auzubillahi, Walillahilhamd, Watallahi, Tabarakaallah, Wallahi, Wabillahi serta Lahaula Walaquata lllabillahilaliyil Azim.

Mohd Rawi berkata, sekiranya terbukti mana-mana individu mahupun pemimpin bukan Islam menggunakan perkataan itu, tindakan boleh diambil bawah seksyen tertentu yang boleh membawa hukuman penjara antara tiga hingga empat tahun.

“Contohnya, ada pemimpin bukan Islam ucap Assalamualaikum sebelum ceramah umum, kita boleh dakwa. Kita akan bertindak tegas untuk elak perkataan khusus Islam digunakan sewenangnya oleh bukan Islam,” katanya.

Mohd Rawi berkata, pindaan ini dibuat demi menjaga kesucian agama Islam, di mana kebelakangan ini negara sering berdepan dengan serangan pemikiran liberal.

Menurutnya, terdapat 40 lagi perkataan yang tidak boleh dikaitkan dengan agama bukan Islam, di mana dibuat penambahan sebanyak 16 perkataan baharu.

Antara perkataan itu termasuk, ALLAH,  firman ALLAH, hadis, Kaabah, ibadah, kiblat, haji, mufti, rasul, Quran, solat, khutbah, fatwa, imam, dakwah, wahyu, masjid, surau, zakat, syariah, akhirat, serta nabi.






















Sumber: Sinar Harian