ALOR SETAR - Sepasang kekasih mendakwa mereka menyewa bilik di hotel bajet, dekat sini untuk membincangkan urusan perkahwinan.
Helah itu adalah sebahagian daripada alasan digunakan sepasang kekasih
ketika dicekup penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) dalam
serbuan Ops Muharam, Jumaat lalu.
Operasi itu turut melibatkan enam hotel bajet lain di sekitar bandar berkenaan.
Penolong Pengarah Penguatkuasa Undang-Undang, Syeikh Mohd Roshidi
Mahmud berkata, pasangan itu memberikan alasan bahawa mereka bakal
melangsungkan perkahwinan tidak lama lagi.
“Gadis itu berusia 23 tahun berasal dari Ayer Hitam manakala teman lelakinya berusia 33 tahun tinggal di Alor Setar.
“Difahamkan, gadis terbabit baru berhenti kerja sebagai pembantu kedai
telefon di Kuala Lumpur, sebelum pulang ke kampungnya,” katanya.
Menurutnya, pasangan itu ditahan anggota Jaik selepas ditemui berada berdua-duaan dalam sebuah bilik hotel.
Syeikh Mohd Roshidi berkata, mereka mendakwa sudah berkenalan lebih setahun dan hubungan itu diketahui bapa gadis berkenaan.
Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, sebelum ke
bilik gerakan Pejabat Agama Daerah Kota Setar untuk diambil keterangan.