SARATOK – Seekor keli berwarna oren keemas-emasan jauh berbeza
berbanding keli biasa terperangkap dalam bubu Kasum Ringkai atau lebih
dikenali dengan nama Apai Rickey.
Katanya, sepanjang usianya mencecah 50-an dia tidak pernah melihat
keli berwarna keemas-emasan malah penemuan keli unik itu turut menarik
perhatian penghuni Rumah Buchai, Kecoh, 30 kilometer dari pekan Saratok.
“Semua penghuni warga emas di rumah panjang kami mengaku
tidak pernah melihat keli sedemikian rupa. Ia terperangkap dalam bubu
yang saya letak di paya belakang rumah panjang kami,” katanya.
Cerita Apai Rickey lagi, paya itu dipanggil Sungai Rarong oleh
penduduk setempat memang jadi lokasinya untuk meletak bubu ikan yang
dipanggil bubu duduk.
“Berpuluh-puluh ekor ikan keli, haruan, toman serta beberapa jenis
ikan air tawar lain di paya ini. Menggunakan kaedah bubu duduk ini
berumpankan biji sawit dan ubi, saya memperoleh banyak hasil.
“Tetapi seminggu lepas, sewaktu saya memeriksa bubu duduk yang di
paya ini, saya terkejut terlihat seekor ikan berwarna keemas-emasan
terperangkap dalam bubu bersama dua ekor keli lain,” kata Apai Rickey
ketika ditemui semalam.
Pada mulanya, kata Apai Rickey, ada rasa takut dan ragu-ragu
mengeluarkan ikan pelik itu kerana warnanya agak berbeza berbanding keli
biasa.
Didorong perasaan ingin tahu, dia memberani diri menangkap dan
membawa ikan itu balik ke rumah panjang untuk dikongsi bersama penghuni
rumah panjang mereka.
“Rata-rata warga emas di sini sependapat, inilah kali pertama dalam hidup mereka melihat ikan keli seakan-akan ikan emas.
Mereka menyarankan saya memeliharanya kerana mungkin ada hikmah tersembunyi di sebalik penemuan ini,” katanya.
Menurut Apai Rickey, ikan keli itu bersaiz lengan seorang kanak-kanak berusia 10 tahun, panjangnya pula sekitar 30 sentimeter.
Tambahnya, setelah dinasihat bapanya, dia memelihara keli emas itu dengan meletakkannya di dalam tong air di bilik mandi mereka.
“Saya memberi makanan biasa seperti biji kelapa sawit, cacing serta
serangga. Dan, ikan keli ini menjadi tumpuan sebab ramai yang datang
melihat,” jelasnya.
Berikutan tersebarnya berita tentang penemuan ikan keli yang pelik
tersebut, beberapa penduduk Cina dari Sarikei datang dan menawar harga
tertentu, namun tawaran itu terpaksa ditolak.
“Kami sekeluarga tidak pasti sama ada akan terus memelihara,
melepaskan atau sebaliknya,” kata Apai Rickey dalam nada yang
kebingungan.
Menurut kajian, ikan keli keemasan itu juga dikenali sebagai ikan keli keemasan gua atau "Golden Cave Catfish" yang merupakan antara hidupan atau spesis air tawar yang diancam kepupusan.


