KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta tidak tergesa-gesa menerima cadangan
Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melanjutkan umur bagi
pengeluaran keseluruhan simpanan persaraan kepada 60 tahun, kerana ia
dilihat tidak memberi peluang kepada mereka yang memilih untuk bersara
awal.
Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs)
Datuk Azih Muda berkata, had usia pengeluaran wang simpanan itu
seharusnya berpadanan dengan usia persaraan seseorang memandangkan tidak
semua pekerja bersara pada usia 60 tahun.
“Pada masa kini, terdapat pesara yang memilih untuk bersara pada usia
58 tahun. Bagaimana dengan mereka? Adakah mereka juga perlu menunggu
sehingga dua tahun untuk mengeluarkan wang simpanan?
“Had pengeluaran simpanan itu haruslah berpadanan dengan usia
persaraan untuk memberi peluang mereka menggunakan wang tersebut bagi
tujuan seperti membeli rumah atau mengerjakan haji,” katanya kepada
Bernama di sini, hari ini.
Semalam, media melaporkan KWSP bercadang untuk melanjutkan sehingga
umur 60 tahun bagi membolehkan pencarumnya mengeluarkan keseluruhan
simpanan persaraan, bukan lagi pada usia 55 tahun seperti sekarang ini.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Perancangan dan Pengurusan
Strategi) KWSP Tunku Alizakri Alias berkata cadangan itu sejajar dengan
pelaksanaan umur persaraan 60 tahun.
Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi Universiti Islam
Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Dr Mohamed Aslam Haneef juga bersetuju
bahawa cadangan itu perlu diperhalusi, kerana perbezaan lima tahun
jangka masa pengeluaran tidak dilihat membawa perbezaan yang ketara
kepada jumlah tabungan pencarum.
Beliau berkata langkah itu mungkin bertujuan mahu memastikan wang
simpanan ‘bertahan lama’, namun ia tidak semestinya berjaya jika
dibelanjakan tanpa berhemah oleh pencarum.
“Difahamkan ramai pencarum KWSP mempunyai simpanan persaraan di bawah
RM50,000 dan berkemungkinan menghabiskan caruman mereka antara tahun
pertama hingga tahun kelima persaraan,” katanya.
Sehubungan itu, Mohamed Aslam berkata antara langkah yang boleh
diambil untuk ‘membantu’ pencarum, khususnya mereka yang berpendapatan
rendah adalah dengan ‘intervensi pihak berkenaan’ meningkatkan
pendapatan yang diterima golongan ini.
“Mereka yang berpendapatan rendah hanya boleh menyumbang dalam jumlah
sedikit dalam KWSP sehingga usia persaraan. Jika pendapatan mereka
bertambah, baharulah simpanan KWSP juga meningkat,” katanya.
Mohamed Aslam juga menasihatkan masyarakat untuk tidak hanya
bergantung kepada simpanan KWSP, sebaliknya menyediakan simpanan
peribadi atau menggunakan saluran pelaburan dalam pasaran untuk
meningkatkan simpanan persaraan.
“Pada usia 55 tahun, jika seseorang menerima wang KWSP melebihi
RM100,000 sekali pun secara kasar, mereka tidak boleh hidup selesa
berbekalkan wang sebanyak itu kerana jumlah simpanan tersebut tidak
mencukupi untuk membiayai keperluan kewangan ahli sepanjang tempoh
persaraan mereka.
“Cara terbaik ialah seseorang perlu ada simpanan lain dan mesti
menyimpan wang dan melabur sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji
bersih bulanannya,” katanya.
Sehingga September lepas, sebanyak 68 peratus ahli KWSP berusia 54
tahun mempunyai kurang RM50,000 simpanan dan hanya 33 peratus memenuhi
simpanan asas iaitu minimun RM196,800 untuk memberikan pendapatan
bulanan RM820 bagi tempoh 20 tahun. – BERNAMA