SEOUL – Tahun ini ia hanya kira-kira 650,000 pelajar, tidak banyak
beza berbanding tahun lalu, namun kesannya amat besar apabila aktiviti
lebih 50 juta warga Korea Selatan terhenti seketika gara-gara
peperiksaan tahunan terbesar yang berlangsung serentak hari ini.
Ironi meskipun cuma peperiksaan biasa bagi pelajar kolej berusia 17
tahun untuk layak masuk universiti sesi tahun berikutnya, tetapi lulus
atau gagal dalam ujian dianggap paling susah itu seumpama bakal mengubah
nasib hidup seseorang pada masa akan datang.
Bayangkanlah pelajar yang lulus dalam peperiksaan amat sukar itu akan
dianggap ada masa depan cerah kerana bakal diterima masuk universiti
elit di Korea Selatan selain jaminan kerjaya dengan firma terkemuka
malah berkahwin dengan pasangan yang dihormati.
Tinjauan agensi berita rasmi Korea Selatan, Yonhap mendapati,
suasana di seluruh negara senyap sunyi sejurus peperiksaan bermula 8.40
pagi (atau 7.40 pagi waktu Malaysia) di 1,257 pusat peperiksaan
seolah-olah masa yang bergerak tiba-tiba berhenti putarannya.
Kementerian Pengangkutan bahkan ‘haram’ semua pendaratan dan
perlepasan pesawat di lapangan terbang selama 40 minit ujian itu bermula
manakala Kementerian Pertahanan terpaksa jadual semula latihan menembak
di kem askar untuk elak bunyi bising.
Trafik juga dilarang memasuki jarak 200 meter dari pusat peperiksaan
selain semua pejabat kerajaan dan premis perniagaan termasuk bursa saham
Seoul dibuka sejam lewat bagi memastikan ibu bapa sempat menghantar
anak mereka masuk ke dewan ujian.
Pihak berkuasa juga menyedia perkhidmatan kecemasan khas untuk
pelajar atau ibu bapa yang terperangkap dalam kesesakan jalan raya
dengan bantuan kereta peronda atau motosikal berkuasa besar polis akan
iringi mereka tiba di tempat peperiksaan. – Agensi
Seorang pelajar yang terkandas dalam kesesakan jalan raya dibawa menaiki motosikal polis ke tempat peperiksaan sebelum ujian bermula di Seoul hari ini. – Gambar hiasan |