Keputusan Kes Saari, Hasnul: Majlis Syura Ulama PAS Sebulat Suara

KUALA LUMPUR – Majlis Syura Ulama PAS akan menyerahkan surat keputusan rayuan terhadap penggantungan keahlian dua ADUN PAS, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharuddin (Morib) selewat-lewatnya, esok.

Setiausahanya, Datuk Nik Muhamad Zawawi Salleh, berkata kandungan surat itu hanya akan dimaklumkan kepada umum dua atau tiga hari selepas kedua-dua ADUN itu menerima surat berkenaan.

“Surat itu kita akan hantar seboleh-bolehnya hari ini dan paling lewat esok kita hantar kepada mereka. Kandungan surat kita boleh bagi tahu dua tiga hari selepas ini, ini sebagai penghormatan kepada mereka,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Beliau menjelaskan, semua ahli Majlis Syura Ulama PAS sebulat suara bersetuju dengan keputusan diambil.

“Tak ada seorang pun yang bercanggah dengan keputusan diambil. Apa isi kandungan surat, selepas ini (kita bagi tahu).

“Tak akan ada sidang media berkenaan perkara ini, kalau nak tahu (keputusan) boleh telefonlah, tapi selepas dua tiga hari,” katanya.

Nik Muhamad Zawawi seperti dipetik laporan media semalam memaklumkan sudah menerima surat rayuan dikemukakan kedua-dua ADUN berkenaan, Isnin lalu.

Jawatankuasa PAS pusat pada 11 Oktober lalu membuat keputusan menggantung keahlian Saari dan Hasnul selama setahun.

Keputusan itu dibuat berikutan tindakan mereka menandatangani surat akuan bersumpah (SD) menyokong Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar Selangor.

Ia dilihat bertentangan dengan pendirian Majlis Syura Ulama dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Sumber: Berita Harian