"Kerah 1,800 Penguat Kuasa Pantau Harga" - Ahmad Bashah

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,800 anggota penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) telah digerakkan di seluruh negara bagi mempertingkatkan pemeriksaan dan pemantauan kawalan harga.

Timbalan Menteri KPDNKK Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata lebih 46 pemeriksaan dibuat anggota penguat kuasa KPDNKK terutamanya pada musim musim perayaan.

“Sebanyak 766 kes telah dikesan berhubung kenaikan harga barang terutamanya pada musim-musim perayaan seperti Aidilfitri, Tahun Baru Cina dan sebagainya,” katanya menjawab soalan tambahan Siti Zailah Mohd Yusoff (PAS-Rantau Panjang) pada persidangan Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Ahmad Bashah berkata kesemua anggota penguat kuasa ini menjalankan tugas dan tanggungjawab bagi memastikan harga kawalan dipatuhi seperti yang ditetapkan kerajaan.

Beliau berkata kerajaan juga telah menjalankan pelbagai operasi seperti Ops Harga serta mengambil tindakan di bawah Akta Kawalan dan Antipencatutan 2011 terhadap mereka yang mengambil kesempatan menaikkan harga barang sesuka hati.

Menjawab soalan asal Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid (BN-Kota Tinggi), Ahmad Bashah berkata kawalan harga barang basah seperti ayam, daging dan sayuran hanya dilaksanakan pada musim perayaan melalui Skim Kawalan Harga Musim Perayaan.

“Di luar tempoh skim kawalan harga musim perayaan, harga ditentukan melalui faktor permintaan dan penawaran dalam pasaran,” jelasnya.

Menjawab soalan lain, Ahmad Bashah berkata KPDNKK akan terus melaksanakan pemeriksaan menyeluruh ke atas semua barangan melalui Ops Harga.

Katanya langkah itu merupakan satu daripada usaha Jawatankuasa Khas Menangani Kos Sara Hidup Rakyat bagi mengawal harga barangan.

Menurut beliau, sehingga 23 Sept lepas, sebanyak 1,157,637 pemeriksaan telah dilakukan dan 4,731 tindakan undang-undang telah diambil ke atas peniaga melibatkan rampasan bernilai RM919,693 dan kompaun RM234,400. – BERNAMA