Kes Buli Pelajar: Yusof Haslam Sanggah Wardina

KUALA LUMPUR - Penerbit filem terkenal, Datuk Yusof Haslam tidak bersetuju dengan pandangan Wardina Safiyyah yang menuding jari menyalahkan pembikin filem bergenre gangster sebagai salah satu penyebab kepada gejala sosial buli yang semakin berleluasa di kalangan pelajar sekolah sejak kebelakangan ini.

Beliau berkata, tidak wajar pembikin filem dipersalahkan kerana tidak semua orang menonton wayang malah peratusannya lebih kecil jika dibandingkan dengan kuasa dan pengaruh Internet yang kini lebih mudah diakses oleh remaja dan pelajar sekolah.

“Filem (gangster) bukan penyebab, dia (Wardina) cakap tanpa sebarang kajian. Kes buli ni bukan benda baru, zaman dulu-dulu dah ada dah, kita jangan cari satu konklusi yang mudah dengan menyalahkan penerbit filem.

“Pendapat-pendapat yang diutarakannya itu jumud, senang-senang tuding jari. 

Bagi saya, zaman sekarang, pengaruh yang paling besar adalah Internet, di mana kanak-kanak seawal usia empat, lima tahun sudah didedahkan dengan Internet dan media sosial, yang mana pengaruhnya lebih besar (jika dibandingkan dengan filem bercorak keganasan dan gangster),” katanya ketika dihubungi Mynewshub.cc, sebentar tadi.

Beliau turut menyatakan pandangan Wardina seolah-olah tidak menghormati orang yang terlibat dalam industri perfileman negara.

Ini kerana, menurut Yusof, sekiranya, adegan dalam sesebuah filem gangster itu terlalu keterlaluan pastinya, Lembaga Penapisan Filem (LPF) tidak akan membenarkan tayangan sesuatu babak itu kepada umum.

Namun, penerbit yang turut digelar ‘Six Million Dollar Man’ ini tidak menyalahkan pendapat Wardina sebaliknya berharap aktres itu jika ingin mengemukakan pandangannya hendaklah berdasarkan kajian dan bukannya berdasarkan cakap-cakap kosong sahaja.

“Menuding jari bukan boleh menyelesaikan masalah, sebagai ibu bapa, kita harus sentiasa memantau anak-anak agar mereka tidak terlibat dengan sebarang gejala sosial yang semakin membimbangkan.

“Zaman sekarang, anak-anak lebih terdedah kepada media sosial dan Internet yang mana isi kandungannya lebih banyak mengandungi unsur-unsur negatif yang secara tidak langsung boleh mempengaruhi mereka untuk melakukan atau meniru seperti apa yang dilihat di Internet,” ujarnya.

Sebelum ini Wardina mengeluarkan status di laman sosial Facebook miliknya, seolah-olah menuding jari kepada penerbit serta pengeluar filem bergenre gangsterism yang menjadi penyebab serta faktor penyumbang kepada kejadian kes buli di kalangan pelajar sekolah yang semakin berleluasa sejak kebelakangan ini.