Khalid Ibrahim "Hilang"?

Umum sedia maklum, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim kini menjadi ADUN bebas selepas beliau dipecat dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 9 Ogos lalu dan ‘dipaksa’ turun daripada takhta Menteri Besar Selangor pada 22 September lepas.

Selepas lebih sebulan bergerak solo, para penduduk di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak kini tertanya-tanya dengan kehilangan Khalid.

Mana tidaknya, mereka menantikan kehadiran figura tersebut bagi mendengar rintihan serta masalah yang dihadapi. Sementelah, sehingga kini mereka tidak pasti di mana letak duduk lokasi Pusat Khidmat DUN dan Parlimen beliau.

Menurut portal The Malaysian Insider, rata-rata penduduk juga tertanya-tanya adakah Khalid masih lagi mewakili mereka di DUN dan Parlimen yang dimenanginya.

Ujar salah seorang penduduk Pelabuhan Klang, Ibrahim Yaacob, 44, “Hendak mengadu pun tidak boleh sekarang sebab saya tidak tahu di mana pejabat beliau. Sekarang urusan semuanya saya terus ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor di Shah Alam.”

Pandangan turut sama dikongsi oleh seorang peniaga gerai makan, Siti Sahrena Salehuddin, 39, yang berkata, Khalid muncul kali terakhir di situ pada Ramadan lepas dalam satu majlis berbuka puasa dengan penduduk sekitar.

“Selepas krisis Selangor, Khalid senyap, tiada apa pun di sini, pejabat pun tidak tahu di mana.”
Rakyat di kawasan tersebut amat berharap Khalid dapat meneruskan perkhidmatannya sehingga tamat penggal menjelang pilihanraya umum ke-14.

“Beliau perlu turun padang, perlu bekerja, kerana masyarakat di sini telah memilih beliau semasa pilihanraya,” ujar Ragu Pathi, 30, seorang pemandu lori.

Namun begitu, Ragu was-was akan kredibiliti Khalid selepas dia kini bergerak atas tiket bebas.

Ujarnya, “Beliau berkhidmat dengan baik, aktiviti banyak, tetapi siapa yang ingin percaya ‘one man show’. Lebih-lebih lagi, Azmin kini sudah menjadi MB.”

faekah-husin-22

Menurut Pegawai Khas mantan MB Selangor di kedua-dua kawasan tersebut, Faekah Husin, khabar angin tentang perletakkan jawatan Khalid di DUN Pelabuhan Klang dan Parlimen Bandar Tun Razak tidak benar.

Katanya, Khalid baru sahaja kembali memulakan tugas sebagai wakil rakyat di kedua-dua kawasan tersebut selepas bercuti selama dua minggu.

“Di Bandar Tun Razak beliau membuka pusat khidmat rakyat, manakala di Pelabuhan Klang, pejabat baru dibuka di Bukit Tinggi.”

Ya, kegelisahan penduduk itu berasas kerana ‘suara’ kecil rakyat memerlukan bantuan wakil untuk disampaikan kepada orang atasan. Moga-moga Tan Sri Khalid dapat segera bangkit dari terus jatuh.

Sumber: Mynewshub.cc