Bukan mudah tugas para guru untuk mendidik anak bangsa untuk menjadi "manusia" dan bukan mudah menjadi seorang anak yang hidup dalam serba kepayahan untuk mampu membuat ibu dan ayah bangga, menangis gembira.
Namun kisah mengenai seorang murid bernama Ayub Mohadjar yang berjaya mencapai keputusan 4A 1B dalam peperiksaan UPSR baru-baru ini mampu membuka mata ramai pihak.
Kisah tersebut diharapkan dapat menyedarkan insan-insan bergelar guru yang diamanahkan Allah SWT untuk mendidik anak bangsa dan golongan pelajar supaya belajar bersungguh-sungguh meskipun dalam hidup dalam serba kedhaifan.
Hayati kisah di bawah yang dipetik dari sumber Facebook As Syahid ini...
Ayub bin Mohadjar, anak orang kampung sahaja. Adik beradiknya sangat ramai. Pernah dahulu saya mengajar abangnya Syuaib dan tahun lalu kakaknya Siti Khadijah. Ayub mempunyai dua lagi adiknya di Tahun 5, 3 dan 2. Masih ada kakak yang bersekolah di sekolah menengah harian. Bermakna tujuh kesemuanya.Ayahnya bekerja kampung sahaja - sesekali saya melihat abangnya Syuaib atau Ayub membantu ayahnya di kampungnya. Rumah yang didirikan tanpa cat yang indah dan berhias. Tahun lalu, rumah mereka antara yang dipukul ribut. Allah mentakdirkan waktu itu saya masuk ke rumah bersama suri saya, anak lelaki saya dan sahabat saya pensyarah di IPG Puan Umaimah Mohd Idris.Kami memberikan bantuan sedaya yang mampu. Hati saya pilu dan sebak melihat pingat kebanggaan yang dicapai di sekolah digantung tepi almari rak yang usang, begitu juga itulah sahaja rak yang menempatkan semua buku dan alatan tulis. Masih ingat lagi, senarai barangan Hari Raya yang belum dibeli yang saya nampak di atas meja untuk setiap adik -beradiknya. (Yes, i cried )Lawatan sekolah ke Seremban menaiki komuter dan ETS baru-baru ini sebetulnya dibayar sepenuhnya oleh seorang guru (diminta untuk dirahsiakan) kerana pada awalnya dia sudah berkata dia tidak mampu untuk pergi berhibur walau sekali dalam hidupnya. Bukan keperluan mengikut kata keluarganya.Ayub; saya sifatkan seorang anak yang pemalu, sekadar ' pengikut - follower', tidak tahu apa yang dimahukannya. Periang dan potensi diri belum diluahkan lagi. Sepanjang tahun sekadar paling kuat 2A atau 1A. Saya sentiasa menitipkan nasihat di telinganya. Malah, leteran itu sentiasa dan acap kali tanpa jemu. Tanggungjawab saya." Ayub, ingatlah , emak ayah bukan orang senang "
"Ayub, kurangkan main"
"Ayub, kalahkan kakak Siti yang dapat 3A2B tu"
"Ayub, tengok ayah, kesiankan kerja susah"
" Ayub, dirikan solat "Ayub hanya sekadar senyum tersengih. Tapi, saya tahu ayat-ayat saya sampai masuk ke dalam hatinya. Saya selalu teringatkan emaknya menghantar mereka adik-beradik satu motor beramai-ramai. Atau, kadangkala, Ayub atau kakaknya berjalan kaki dahulu sebelum diambil ibunya. Ia seperti adegan drama yang amat melekat dalam hati saya. Begitu jugalah gambaran dalaman rumah Ayub. Sentiasa di kepala.
Kelmarin, selaku guru kelas saya memanggil nama Ayub untuk keputusan UPSRnya, saya tahu saya akan 'banjir' dengan air mata saya. Saya berdiri sekeliling melihat ayah Ayub sedang berdiri berdebar."Bahasa Melayu Pemahaman A
Bahasa Melayu Penulisan A"Saya lihat riak mukanya lagi." Matematik A
...dan, Sains A "Saya lihat air mata Ayub sudah mengalir. Ya, dia tidak percaya. Kejutan buat dirinya. Kejutan buat warga guru. Kejutan buat keluarganya juga.Ketika mahu menyebut keputusan Bahasa Inggerisnya ialah B, saya sudah menangis hiba. Saya lihat ayahnya menangis kegembiraan. Anaknya tidak mendapat 5A tetapi dia gembira anaknya memperoleh 4A 1B. Suatu yang tidak disangka selama ini.Saya menangis kerana terkenangkan keluarganya yang susah. Betapa sukarnya saya selaku cikgu mahu menyuruh anak murid lelaki untuk berubah dan konsisten belajar. Saya membayangkan juga rumahnya yang dipukul ribut. Saya terkenangkan 'senarai' itu. Saya terkenangkan rak almari itu. Saya terkenangkan atap rumah yang terbang hampir hilang semuanya.
Saya terkenangkan Ayub yang membantu bapanya di kebun atau kerja-kerja kampung. Saya terkenangkan Ayub yang sentiasa pemalu dan tersenyum, tidak pernah menangis selama ini, tiba-tiba menangis dengan hiba dan sebak atas kejayaan yang tidak disangkanya sendiri.Masyaallah. Kisah keluarga ini benar-benar satu inpirasi buat saya. Tentang percaya kepada misi mendidik anak bangsa hingga ke semangat yang terakhir.Akhirnya, hampir semua warga guru dan ibu bapa turut menangis mengikut air mata saya , apalagi selepas itu ayahnya datang memeluk erat anaknya. Ayahnya yang garang dan tegas - sentiasa ditakuti anak-anaknya. Ayahnya yang selalu berharap dari jauh. Namun, kasihnya hari itu telah ditunjukkan.
Allah. Allah. Allah. Allahuakbar. Saya tidak akan lupakan kemanisan ini sepanjang hidup. Ia lebih bererti menjadi seorang 'cikgu kampung' daripada menjadi orang yang berbaju kemas, bertali leher di pejabat berhawa dingin. Hidup saya lebih bermakna di sini. Ia menambah nilai kepada diri keseluruhannya. Demi Allah. Untuk tuhanku.Tahniah Ayub, cikgu belajar sesuatu daripada kamu tentang hidup.
Semoga kisah ini dapat menyedarkan tentang keikhlasan seorang guru untuk membantu dan disahut oleh
muridnya yang insaf untuk mengubah nasib keluarga yang kurang bernasib baik.
Kejayaan yang bakal dikecapi
pastinya lebih manis untuk dikenang sepanjang hayat.
Kepada Ayub, teruslah gigih dalam perjuangan hidup kerana
perjalanan masih jauh..
Manakala buat Cikgu As Syahid, tahniah diucapkan
dan ganjaran Allah pasti menanti segala budi baik yang dicurahkan
kepada anak bangsa selama bergelar pendidik di dunia ini.
Semoga guru lain turut mencontohi tindakan terpuji cikgu berkenaan. -KedahNews.com