SYDNEY – Bimbang disalah anggap sebagai lucah, Majlis AIDS Negeri New
South Wales (ACON) hanya menyalut sebatang tiang warisan bersejarah
mercu tanda utama di pusat bandar Sydney dengan kondom gergasi berwarna
merah jambu selama enam hari sahaja.
Ia ekoran rungutan beberapa badan hal ehwal keagamaan tempatan yang
menyelar usaha terbaharu ACON itu sebagai disifatkan tidak sesuai
dipasang di tempat awam apatah lagi dilihat kanak-kanak walaupun niat
asalnya mempromosikan aktiviti seks secara selamat.
“Ini amat memalukan masyarakat dan mungkin boleh disalah faham budak
kecil sendiri sebagai menggalakkan budaya seks bebas,” kata jurucakap Australian Christian Lobby, Wendy Francis kepada agensi berita tempatan Associated Press Australia.
Kondom setinggi 18 meter itu menyalut sebatang obelisk terkenal di
Hyde Park tengah bandar raya itu dipasang pada 7 November lalu dan akan
diturunkan pada Rabu ini berbanding tempoh asal sehingga sambutan Hari
AIDS Sedunia pada 1 Disember depan.
“Kami perlu kaedah lain kerana ramai tidak senang dengan cara kami,”
kata jurucakap ACON, Nicholas Parkhill yang mendakwa, peningkatan kes
HIV/AIDS pada masa ini banyak disebabkan lelaki gay kurang memakai
kondom pada zakar mereka sebelum bersetubuh.
Bilangan penghidap HIV baharu di seluruh Australia dilaporkan
meningkat pada paras tertinggi dalam tempoh 20 tahun dengan kira-kira
1,235 kes direkodkan pada 2013 lalu, sebahagian besarnya melibatkan
aktiviti seks dalam kalangan gay. – Agensi