GENERASI muda perlu ditekankan penggunaan bahasa Melayu yang betul agar tak pupus ditelan zaman. |
GENERASI muda yang sekarang popular dengan sebutan Gen-Y perlu
menjiwai bahasa Melayu (BM) supaya wujud rasa kecintaan ke atas bahasa
kebangsaan itu serta memastikan ia terus dimartabatkan.
Sikap golongan
Gen-Y hari ini amat membimbangkan kerana mereka tidak ambil peduli untuk
mempelajari BM dengan baik kecuali ketika di sekolah.
Mereka juga sudah tidak lagi mempelajari seni BM seperti seloka,
gurindam, pantun dan syair, malah ia seolah-olah dilupakan, kata
Sasterawan Bahasa, Prof Madya Dr Lim Swee Tin.
Tidak ramai anak muda yang menggunakan BM dengan baik apatah lagi
untuk menghayati dan memahaminya sehingga mahir dalam segenap segi
bahasa itu.
Beliau berkata demikian pada Seminar Bahasa Melayu, Kerana Mulut
Bahasa Binasa di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak
(IPTAR) yang diadakan sempena Bulan Bahasa Kebangsaan, baru-baru ini.
Disebabkan keadaan itu, usaha lebih berkesan perlu dilaksanakan
pada peringkat kerajaan dan orang ramai bagi mengubah keadaan ini.
Tarik minat Gen-Y
"Kita perlu menarik minat mereka dengan mengadakan pelbagai
kegiatan yang sesuai dengan Gen-Y bukan sahaja pada peringkat sekolah,
tetapi segenap lapisan masyarakat," katanya.
Mengenai isu Gen-Y yang lebih berminat dengan bahasa rojak
khususnya penggunaan sistem pesanan ringkas (SMS), beliau berpendapat
perkara itu tidak ada salahnya.
Telefon selular memerlukan mereka menggunakan bahasa lebih ringkas
dan tidak rasmi, tetapi apa yang lebih penting bahasa betul untuk
kegunaan rasmi.
"Semua ini berlaku disebabkan peredaran masa dan perubahan
masyarakat serta zaman turut bertukar kerana itu pada zaman Kesultanan
Melayu Melaka dan hari ini contohnya tidak sama.
"Evolusi perubahan bahasa ini berlaku dan pada saya ia bukan satu
kesalahan, bagaimanapun dibimbangi mutu BM anak muda menjadi tidak baik
oleh pengaruhnya. Untuk itu, amat perlu perjuangan memartabatkan BM
diteruskan supaya ia tidak pupus ditelan zaman," katanya.
Ketua Penyelaras Pasukan Petugas Khas Pelaksanaan Jawatankuasa
Kabinet Masyarakat India, Jabatan Perdana Menteri, Prof Madya Dr
Krishanan Maniam, pula berpendapat, amat perlu memahami evolusi bahasa
berdasarkan zaman.
Mengenai remaja India yang gagal menguasai BM, katanya masalah ini
sepatutnya tidak berlaku kerana pendidikan formal mereka sejak di
sekolah rendah.
"Ibu saya tinggal di kampung, tidak pernah ke sekolah, tetapi amat
fasih berbahasa Melayu, jadi kita perlu teliti di mana silapnya,"
katanya.
Begitu juga bagi 604 remaja Cina yang menyertai PLKN tidak boleh
sepatah pun bercakap Melayu seperti dilaporkan, menurut Lim, perkara ini
amat mengecewakan.
"Kita perlu lihat sistem pendidikan sekolah, adakah kesilapan di
mana-mana atau mereka ini berhenti sekolah dan bekerja sejak sekolah
rendah lagi," katanya.
Katanya, sukar dipercayai jika bersekolah semua pembelajaran
menggunakan bahasa kebangsaan, tidak mungkin mereka gagal bercakap
barang sepatah pun.
Penggunaan bahasa rojak dalam sms |
Syor kelas perpaduan rakyat
Berikutan itu, beliau mencadangkan supaya kelas perpaduan rakyat
diadakan dengan lebih kerap, di samping majlis mesra muhibah antara
kaum. Dengan ini akan ada ruang bergaul mesra dan saling memahami
budaya dan BM dengan lebih baik.
"Penguasaan BM ini memerlukan pergaulan seperti ini supaya boleh mempelajarinya secara tidak formal," katanya.
Lim mengambil contoh latar belakangnya yang tinggal di sebuah
perkampungan Melayu di Kelantan sejak lahir dan belajar BM bukan sahaja
di sekolah, tetapi melalui pergaulan dengan masyarakat persekitaran.
"Lingkungan persekitaran ini yang menjadikan saya mencintai,
menghayati dan memahami sepenuhnya BM bersama pelbagai seninya termasuk
gurindam, sajak, syair dan seloka," katanya.
Menurut Krishanan lagi, beliau juga berpendapat bahawa persekitaran
dan gaya hidup masyarakat Malaysia yang sudah jauh berubah turut
memberi kesukaran kepada kaum India dan Cina menguasai BM.
Mereka hanya berpeluang belajar di sekolah, bila di rumah bercakap
bahasa ibunda, kerana itu tidak cukup untuk mereka menguasai BM,
katanya.
Suasana masyarakat individualistik
Suasana hidup masyarakat hari ini terlalu individualistik, tidak
suka bercampur gaul dengan jiran sekeliling turut menyumbang kepada
masalah ini.
Bagi mengatasi masalah ini, Lim mencadangkan supaya kerajaan
merangka apakah perancangan sesuai bagi mengeratkan hubungan muhibah
antara kaum.
Pada masa sama, segenap lapisan masyarakat bekerjasama bukan
sekadar bertemu di tempat senaman atau majlis yang tidak membolehkan
mereka berkenal mesra. -Berita Harian