Inilah labah-labah kecil yang berjaya bersarang dalam telinga penyanyi wanita itu |
Kisah serangga masuk dalam telinga manusia bukanlah cerita pelik namun ia sememangnya jarang berlaku.
Namun siapa sangka, pengalaman mengerikan ini dilalui oleh penyanyi terkenal UK, Katie Melua.
Menceritakan pengalaman ‘unik’ dilaluinya, penyanyi Nine Million
Bicycles ini berkata dia sering terdengar bunyi berdesing di telinga
selama seminggu sebelum berjumpa doktor untuk melakukan pemeriksaan.
Selain bunyi berdesing, tiada sebarang kesakitan atau keganjilan dirasakan.
Namun alangkah terperanjatnya Melua apabila dimaklumkan, bunyi itu
berpunca daripada seekor labah-labah yang sudah seminggu menghuni dalam
telinganya.
Fikir punya fikir bagaimana serangga berkaki lapan itu boleh masuk
dalam telinga, Melua akhirnya menyalahkan monitor telinga lama yang
sering dipakainya ketika menaiki pesawat.
Kemungkinan besar kata Melua, labah-labah terdapat dalam monitor
telinga ini lalu apabila ia dipakai, labah-labah berkenaan merangkak
masuk lalu duduk diam-diam dalam telinganya selama seminggu sebelum
dikeluarkan oleh doktor.
Kata Melua, doktor yang mengeluarkan labah-labah tersebut mengakui,
dia sendiri agak terkejut kerana ini adalah kali pertama dia menemui
serangga yang sudah seminggu tinggal dalam telinga namun masih hidup
ketika dikeluarkan.
Penyanyi itu turut berkongsi tentang labah-labah kecil itu di laman Instagram rasminya.
Terbaharu jurucakap Melua menyatakan, labah-labah tersebut kini sudah
dilepaskan di taman yang terletak di rumah penyanyi tersebut.
Apa yang menarik, kesemua pengalamannya bersama labah-labah
dikongsikan Melua menerusi laman Instagram beserta gambar dan cerita di
sebaliknya. -KedahNews.com