Lampu HID, Strobe: JPJ Kedah Keluar 761 Saman Sejak Awal Oktober

SINTOK – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah telah mengeluarkan 761 saman terhadap pemilik kenderaan atas kesalahan nombor pendaftaran, lampu ‘High-Intensity Discharge’ (HID) dan lampu ‘Strobe’ menerusi operasi khas yang dilancarkan sejak awal bulan ini.

Ketua Bahagian Penguat Kuasa JPJ Kedah Shahrul Azhar Mad Dali berkata sehingga semalam pihaknya turut memberi notis advokasi terhadap 116 pemilik kenderaan atas kesalahan cermin gelap sebelum tindakan diambil terhadap kesalahan itu pada Mei tahun depan.

Beliau berkata daripada 761 saman yang dikeluarkan sebanyak 691 kes adalah kesalahan nombor pendaftaran, 56 kes berkaitan lampu ‘Strobe’ dan 14 bagi kes lampu HID selepas pemeriksaan terhadap 7,771 buah kenderaan.

“Kita sebelum ini telah melakukan program advokasi sejak 7 Sept lepas dan rata-rata pemilik kenderaan telah tahu kesalahan pada kenderaan mereka. Jadi yang mana tidak ikut kita akan saman.

“JPJ turut meminta pemilik kenderaan tampil secara sukarela ke cawangan JPJ di seluruh negeri seperti di Alor Setar, Sungai Petani dan Kulim untuk memeriksa dan mendapatkan nasihat mengenai kesalahan pada kenderaan mereka agar ia mengikut peraturan yang ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas majlis Pelancaran Skuad Muda 1JPJ di Universiti Utara Malaysia (UUM) di sini hari ini.

Sementara itu Shahrul Azhar berkata pihaknya akan memperluaskan Skuad Muda 1JPJ ke pusat pengajian tinggi awam dan swasta di negeri ini pada masa akan datang sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap keselamatan jalan raya.

“Maklumat yang mereka perolehi akan dipanjangkan kepada rakan-rakan dan seterusnya kepada ahli keluarga mereka di kampung serta ia mampu untuk meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata UUM merupakan universiti pertama di negeri ini yang menjadi ahli Skuad Muda 1JPJ dengan keahlian berdaftar seramai 200 orang. – BERNAMA