ALOR SETAR – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah mengeluarkan 149
saman atas kesalahan pemilik kenderaan menggunakan lampu ‘High-Intensity
Discharge’ (HID) dan lampu ‘Strobe’ dalam operasi khas dilancarkan
sejak 1 Nov lepas.
Pengarah JPJ negeri, Mohd Fadhil Hassan berkata daripada jumlah itu
sebanyak 115 kes bagi kesalahan berkaitan lampu ‘Strobe’ dan 34 bagi kes
lampu HID, selepas pemeriksaan terhadap 25,336 kenderaan sehingga
semalam.
Beliau berkata pihaknya turut memberi notis advokasi terhadap 287
pemilik kenderaan atas kesalahan cermin gelap sebelum tindakan diambil
terhadap kesalahan itu pada 1 Mei tahun depan, jika kesalahan terus
dilakukan.
Katanya menerusi operasi khas itu juga pihaknya turut mengeluarkan
sebanyak 924 saman bagi kesalahan tiada lesen memandu dan lesen memandu
tamat tempoh.
“Kesalahan tiada cukai jalan dan cukai jalan tamat tempoh pula
merekodkan 575 saman dan tiada insuran pelindungan pula sebanyak 526
kes,” katanya ketika ditemui pada Perasmian Lelongan Awam Kenderaan di
JPJ Kedah di sini hari ini.
Mohd Fadhil berkata pada lelongan awam itu sebanyak 88 buah kenderaan
dilelong iaitu 61 buah motosikal, 19 buah kereta, lima buah van, sebuah
lori, sebuah kenderaan pacuan empat roda dan sebuah traktor.
Beliau berkata acara lelongan tersebut disertai oleh 174 pembida. – BERNAMA
