PUTRAJAYA - Mahkamah Persekutuan pada Isnin
diberitahu bahawa profil DNA yang diperolehi dari tiga barangan yang
digunakan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah sepadan dengan profil 'Lelaki
Y' yang diambil dari pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan.
Ketua Pendakwaan, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, tiga
barangan tersebut ialah tuala 'good morning', berus gigi dan botol air
mineral yang diperoleh dari lokap ketika Anwar ditahan di Ibu Pejabat
Kontijen Polis Kuala Lumpur (IPKKL).
"Jabatan kimia peroleh DNA tertuduh dari tiga barangan tersebut. DNA
inilah yang dikatakan 'Lelaki Y'. Ia kemudian dibandingkan dengan sampel
'Lelaki Y' yang dikeluarkan dari tubuh Mohd Saiful.
"Yang dikeluarkan dari tubuh Mohd Saiful...'Lelaki Y' juga. Jadi kita
harus bandingkan profil itu dengan satu bandingan yang kita tahu adalah
DNA kepunyaan perayu," katanya di hadapan barisan panel lima hakim yang
diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria di sini, Isnin.
Muhammad Shafee berhujah bagi pihak pendakwaan dalam rayuan Anwar
terhadap pensabitan dan hukuman penjara lima tahun ke atasnya selepas
didapati bersalah meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful di sebuah unit
kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara, Kuala
Lumpur pada 26 Jun 2008.
Bercakap kepada pemberita di luar kamar Mahkamah Persekutuan,
Muhammad Shafee berkata ketika hujahannya, beliau turut mematahkan hujah
pihak pembelaan sebelum ini yang membangkitkan kesahihan profile DNA
yang dikatakan milik Anwar.
Menurutnya, dakwaan kononnya Anwar diperangkap untuk diambil sampel DNA ketika ditahan di IPKKL adalah tidak berasas.
"Apa yang kita buat ialah bandingkan dengan exhibit-exhibit dalam
lokap yang kita tahu orang lain tak gunakan. Hanya beliau yang gunakan.
(Kaedah ini) sebab perayu tak beri beliau punya DNA.
"Oleh sebab itu kita harus ambil DNA yang kita perolehi daripada inisiatif kita," katanya.
Prosiding pada Isnin yang masuk hari kelima akan disambung semula
pada Selasa dengan Muhammad Shafee akan meneruskan penghujahannya pada
sesi pagi.
Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhi hukuman penjara lima tahun ke
atas Anwar, 67, selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful, 27, di
Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit
Damansara antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008.
Tuduhan itu, mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. -mStar