Liwat II, Hari Ke-5: Beza Antara Sokongan 1998 dan 2014

Seorang penyokong tegar Anwar, tidak berkasut dan bersila keseorangan di pagi bicara hari ke-5...
Jika dulu laungan "reformasi" sudah dijeritkan seawal selepas solat subuh di perkarangan Mahkamah dan di sekitar Dataran Merdeka pada kes Liwat I, namun kali ini Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tamparan hebat apabila kes Liwat II dilihat hambar.

Kira-kira jam 8.30 pagi tadi, Istana Kehakiman di Putrajaya boleh dikatakan lengang dar penyokong Anwar dan hanya kelihatan segelintir sahaja dalam anggaran 30 orang. Itupun dilaporkan mereka hanya "buat hal sendiri" sahaja.

Memetik UtaraNews.com, beberapa kumpulan kecil penyokong Anwar dilihat lebih selesa berkumpul di perhentian bas manakala beberapa orang dari mereka berselera leka menikmati sarapan masing-masing.
Istana Kehakiman sekitar jam 8.30 pagi tadi
Keadaan itu jelas sangat berbeza, bagai "langit dengan bumi", jika diukur dengan senario kes Liwat I pda tahun 1998 dulu di mana ribuan penyokongnya berkampung di sekitar mahkamah dan Dataran Merdeka bagi memberi sokongan moral.

Namun bagi kes Liwat II kali ini, nampaknya pihak berkuasa tidak memerlukan "water cannon" atau gas pemedih mata untuk menyuraikan keganasan penyokong Anwar, sebaliknya hanya bersedia dengan beberapa puluh anggota polis sahaja sebagai langkah bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Menariknya, Anwar dulu tidak perlu melakukan sebarang "road tour" mengelilingi negara mengajak penyokongnya berhimpun di Mahkamah. Dia hanya berhimpun di rumahnya sebelum ditahan polis sebelum penyokongnya menyerbu mahkamah di hari perbicaraan.

Reformasi 1998

Berbanding kali ini, nampaknya tidak berbaloi dengan kos yang tinggi, masa, tenaga dan sebagainya yang telah dikeluarkan Anwar mengadakan "road tour" mengelilingi negara menghasut rakyat supaya menyokongnya di mahkamah. 

Hasil "road tour" itu sangat mengecewakan.

Lebih mengejutkan, boleh dikatakan hampir semua "otai" dan penyokong tegar Anwar pada kes Liwat I dulu tidak berada di Istana Kehakiman bagi memberi sokongan moral bagi kes rayuan terakhirnya kali ini.

Orang-orang kuat Anwar seperti Ruslan Kassim, Ezam Mohd Noor, Marina Yusof, Zulkifli Noordin, Zaharin dan ramai lagi yang dulu merelakan diri menjadi benteng bernyawa kini sudah berpatah arang meninggalkan Anwar serta hilang keyakinan pada Ketua Pembangkang itu.

Malah Chandra Muzaffar yang dulu sanggup berkerusi roda berdepan pihak berkuasa pun sudah laman meninggalkan Anwar dan perjuangan bekas Timbalan Perdana Menteri yang terbukti menyalah guna kuasa tersebut.

Semua mereka sudah "serik" diperguna Anwar, hilang keyakinan...
Yang tinggal kini hanyalah isteri Anwar, Datuk Seri Wan Azizah, keluarga terdekat, orang kanan Anwar yang tidak aktif ketika reformasi 1998, Azmin Ali, serta muka-muka baru yang tidak pernah terlibat di zaman demonstrasi "mata lebam" dulu.

Apapun, KedahNews.com berharap agar keadilan diberikan kepada pihak yang benar. Sama ada pada Anwar mahupun Saiful Bukhari Azlan, kedua-duanya berhak untuk mendapat keadilan.

Namun KedahNews.com sedar mengenai undang-undang ciptaan manusia yang mengandungi banyak kelemahan dan kekurangan, tidak mustahil untuk keadilan itu tidak dapat dilaksanakan sewajarnya.

Bagaimanapun, sekiranya keadilan tidak dapat dipamerkan di mahkamah dunia, KedahNews.com yakin seyakinnya bahawa mahkamah Allah bakal menyaksikan keadilan tertegak tanpa sebarang kesangsian. -KedahNews.com