Liwat II, Hari Ke-5: Mengapa Mahkamah Perlu Ketepi Rayuan Anwar

PUTRAJAYA – Pendengaran rayuan terakhir Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki hari kelima hari ini dengan pihak pendakwaan meneruskan hujah mengapa Mahkamah Persekutuan patut mengetepikannya.

Jumaat lepas, ketua pasukan pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memberitahu wartawan beliau telah menyampaikan 20 peratus daripada 205 muka surat hujahannya.

Panel lima hakim yang diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Ariffin Zakaria mendengar rayuan untuk mengetepikan hukuman lima tahun penjara ke atas Anwar yang disabitkan bersalah kerana meliwat.

Empat lagi hakim di dalam panel itu ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Datuk Ramly Ali.

Pihak pembelaan dijangka membalas hujahan pihak pendakwaan esok.

Bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Gopal Sri Ram mengetuai pasukan pembelaan yang dianggotai 14 peguam di antaranya N.Surendran, Sangeet Kaur Deo dan Ramkarpal Singh.
Rayuan itu yang pada mulanya ditetapkan selama dua hari mulai 28 Okt hingga 29 Okt berlanjutan selama enam hari dan dijangka selesai pada 4 Nov ini.

Pada 7 Mac, Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman lima tahun penjara terhadap Anwar, 67, bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, 27 di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara di Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.10 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

Tuduhan mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.

Jika Anwar kalah dalam rayuannya, Anggota Parlimen Permatang Pauh itu boleh hilang kelayakan sebagai seorang anggota parlimen sebagaimana Artikel 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan seseorang anggota parlimen boleh dilucutkan kelayakannya jika beliau dijatuhkan hukuman penjara lebih daripada setahun atau didenda lebih daripada RM2,000.

Ini adalah kes liwat kedua terhadap Anwar.

Dalam kes pertama, beliau didapati bersalah kerana meliwat pemandu keluarganya Azizan Abu Bakar di Tivoli Villa di sini pada tahun 1994 dan dijatuhkan hukuman penjara sembilan tahun oleh Mahkamah Tinggi pada 8 Ogos, 2000.

Mahkamah Tinggi telah memerintahkan Anwar untuk menjalani hukuman itu selepas selesai hukuman penjara enam tahun ke atasnya kerana kesalahan rasuah.

Mahkamah Tinggi telah menyabitkan Anwar atas empat kesalahan rasuah pada 4 April, 1999.

Bagaimanapun, selepas hampir enam tahun di dalam penjara, Anwar dibebaskan pada 2 Sept 2004, setelah Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Hakim Tun Abdul Hamid Mohamad, yang kemudiannya menjadi Ketua Hakim Negara, mengetepikan sabitan dan hukuman penjara ke atas Anwar kerana meliwat Azizan menerusi keputusan majoriti 2-1. – BERNAMA