Pasukan pendakwaan dalam kes liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menutup hujah balas mereka di Mahkamah Persekutuan esok.
Ketua Pendakwaan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata demikian
sebelum mahkamah ditangguhkan pada hari ini iaitu hari kelima prosiding
kes berkenaan.
Beliau berkata, beliau memerlukan kira-kira dua jam lagi untuk berhujah, memetik laporan bnbbc.my.
Anwar yang juga Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) dituduh
meliwat bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan pada 2008.
Menurut Muhammad Shafee, hujah balas untuk perkara baru yang
dibangkitkan peguam bela Anwar akan dibentangkan pasukannya secara
berfakta pagi esok.
“65 peratus (hujah balas sudah diberi) . Kita akan sambung esok pagi dengan perkara-perkara baru yang dibangkitkan sebelum ini.
“Ia hanya akan mengambil masa sebelum “lunch” saja, kita dah boleh selesai,” katanya dalam laporan itu.
Beliau berkata setakat hari ini, beberapa elemen penting disentuh
termasuk tentang tiga bukti yang diperolehi iaitu tuala “Good Morning”,
berus gigi dan botol air mineral yang membolehkan proses ujian DNA
dilakukan.
“Mustahak sekali berkenaan bukti perayu menggunakan tiga
barang dalam lokap IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) iaitu tuala, berus
gigi dan juga sebotol air mineral yang dibawa sendiri.
“Daripada tiga item ini, kita perolehi DNA dan disahkan ia
milik lelaki “Y”. Yang dikeluarkan dari tubuh Mohd Saiful (Bukhari
Azlan) juga (DNA) sama dengan lelaki “Y”.
“Kita harus bandingkan dengan bukti dalam lokap. Sebab
(perayu) dia tak bagi DNA umpamanya darah, kalau dia bagi DNA, senang,
tapi itu hak dialah. Jadi kita perlu perolehi hasil inisiatif kita untuk
buat perbandingan,” katanya.
Seorang daripada peguam Anwar, Ramkarpal Singh memberitahu, pihaknya
akan membuat hujahan semula sebaik Muhammad Shafee selesai membentangkan
hujah balasnya.
Sumber: Mynewshub.cc