Lombong Arang Batu Meletup: Mangsa Dikenal Pasti

KUCHING: Mayat dua dari tiga pelombong yang maut dalam kejadian letupan di lombong arang batu di Selantik, Pantu dekat Sri Aman hari ini, kira-kira 130km dari sini, dikenal pasti sebagai warganegara asing manakala jumlah yang cedera meningkat kepada 26 orang berbanding 11 orang sebelum ini. - Foto BERNAMA
KUCHING – Polis telah mengenal pasti identiti tiga mangsa yang maut dalam kejadian letupan lombong arang batu di Sarawak semalam.

Mereka dikenali sebagai Pang Chung Hyok, 29, warga Korea Utara, warga Myanmar, Tun Tun Win, 36, dan warga Indonesia yang hanya dikenali sebagai Kardianto, 38.

Letupan kira-kira 9 pagi itu turut mencederakan 29 pekerja lain di lombong yang terletak berdekatan Pantu, Sri Aman kira-kira 130 kilometer dari sini.

Ketua Polis Daerah Sri Aman, Deputi Superintendan Mat Jusoh Mohamad, berkata mangsa maut apabila lombong yang dipenuhi gas itu meletup bermula daripada kejadian litar pintas sebuah kipas.

“Siasatan setakat ini mendapati selain tiga yang meninggal, 29 lagi pekerjater cedera di dalam terowong sepanjang 69 meter itu,” katanya.

Mat Jusoh berkata daripada jumlah yang tercedera, sembilan merupakan warga Indonesia, enam (Myanmar) lima (China), dua (Bangladesh) dan tujuh (Korea Utara).

Katanya 25 orang daripada yang tercedera mengalami kecederaan parah dan dirujuk ke Hospital Umum Sarawak sementara empat yang lain dirawat di Hospital Sri Aman.

Beliau berkata lombong berkenaan telah beroperasi kira-kira lapan tahun lalu dan kini mempunyai 119 pekerja yang kebanyakannya warga asing. – BERNAMA