SRI AMAN – Kerja-kerja menyiasat punca sebenar kejadian letupan
lombong arang batu di Pantu, dekat sini masih belum dapat dilakukan
setakat 6.30 petang semalam.
Ketua Balai Bomba Sri Aman, Ranger Moos berkata ini kerana pasukan
operasi dan forensik kebakaran Bomba perlu mendapatkan pengesahan
keselamatan daripada Pasukan Unit Bahan Berbahaya (Hazmat) sebelum boleh
memasuki terowong lombong berkenaan.
“Hazmat perlu terlebih dahulu masuk ke dalam terowong berkenaan bagi
memastikan tiada sebarang kebocoron gas atau menentukan jenis gas yang
bocor di dalam terowong, selain memastikan keadaan selamat untuk
dimasuki sebelum pasukan forensik dapat melakukan kerja-kerja siasatan,”
katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, hari ini.
Ranger berkata selain itu, pihaknya perlu mendapatkan pengesahan
daripada jurutera syarikat lombong arang batu berkenaan sama ada
struktur terowong terjejas atau tidak disebabkan letupan yang berlaku
itu.
“Hazmat dijangka tiba di lokasi petang ini. Jadi, buat sementara
waktu pasukan operasi bomba akan memantau lokasi kejadian dan sesiapa
pun tidak dibenarkan masuk ke dalam terowong itu,” katanya.
Tinjauan Bernama di lokasi kejadian mendapati bomba masih mendapatkan
maklumat lanjut mengenai kejadian itu daripada penyelia lombong
berkenaan.
Turut berada di lokasi kejadian ialah pegawai-pegawai Jabatan Kesihatan Sarawak.
Ranger berkata bomba dimaklumkan oleh penyelia berkenaan bahawa
terdapat terdapat 119 pekerja termasuk warga China (15), Myanmar (29),
Indonesia (19), Bangladesh (10) dan Korea Utara (46) yang bekerja di
lombong berkenaan.
“Penyelia juga mengesahkan ketika kejadian, hanya 27 orang pekerja yang masuk ke dalam terowong lombong berkenaan,” katanya.
Menurutnya siasatan awal mendapati kejadian itu berpunca daripada
percikan api kipas angin yang rosak dan seterusnya menyebabkan kebakaran
gas dan letupan di terowong itu.
“Ketika kejadian, 27 pekerja itu berada pada jarak 450 meter di dalam terowong,” katanya.
Terowong berkenaan adalah sepanjang 700 meter. – BERNAMA