Macau Kini Dilabel "Las Vegas Asia"

Tidak salah jika dikatakan ramai pelancong datang ke Macau untuk berjudi. Telahan itu jarang meleset kerana selain Las Vegas, Macau menempatkan kasino terkenal dunia yang boleh dilihat di hampir setiap sudut.

Apa tidaknya, keluar saja dari lapangan terbang saja sudah nampak kasino, malah di terminal feri pun ada kasino. Pendek kata, di sana sini pelancong akan disajikan dengan pemandangan kasino berbanding perkara lain.

Kota cahaya dengan pemandangan indah pada waktu malam itu menjadikan penulis berasa seolah-olah berada di Las Vegas yang seperti selalu dapat disaksikan di kaca televisyen atau filem, lebih-lebih lagi nama digunakan kasino di Macau sama dengan di Las Vegas, begitu juga hotelnya.

Ia seperti duplikasi Las Vegas. Sebagaimana difahamkan oleh pemandu pelancong, kasino dan hotel yang berdiri megah di Macau dimiliki syarikat sama di Las Vegas.

Malah, pada hemat penulis, pulau bekas jajahan Portugis itu mencatat pembangunan pesat selaras dengan peredaran dunia masa kini.

Bukan itu saja, mereka yang berkunjung ke situ akan lihat bahasa Portugis masih berbekas di Macau, sama ada pada nama jalan, kedai atau papan tanda.


Penduduknya sama ada yang berasal dari Portugal, Macanese (berketurunan Portugis tetapi dilahirkan di Macau) dan sebahagian besar etnik China masih selesa dengan aura bekas penjajah dari Eropah itu, walaupun wilayah berkenaan dikembalikan kepada China pada 1999 selepas dijajah sejak 1887.

Namun, bagi yang suka melancong, tidak salah ke Macau kerana di sebalik permainan poker, blackjack, baccarat dan roulette yang ditawarkan dalam kasino serba mewah dan moden, masih ada pelbagai lokasi menarik untuk dikunjungi sekeluarga.

Setiba di sana, pelawat boleh memilih bergerak dengan menaiki kemudahan awam seperti teksi atau van pelancong tetapi cara terbaik untuk meneroka Macau ialah berjalan kaki kerana destinasi tarikan utamanya terletak berdekatan di antara satu sama lain.

Selain itu, pengunjung tidak perlu ke Portugal untuk merasai budaya Portugis kerana jika anda berkunjung ke Macau pasti ia menjanjikan kepuasan percutian unik berlandaskan dua kebudayaan iaitu budaya China dan Portugis.

Malah, tarikan turut terarah kepada deretan hotel kerana pengunjung peluang bergambar bersama naga digital di City of Dreams serta melihat pertunjukan Dragon Of Fortune dan Tree of Prosperity di Wynn Macau secara percuma.


Selain itu, Macau tidak hanya bermegah menerusi hotel dan himpunan barangan berjenama mewah, sebaliknya turut unggul dalam persembahan mengujakan menerusi House of Dancing Water di City of Dreams yang penuh dengan kejutan serta menakjubkan.

Yang boleh penulis katakan, persembahan teater arahan pengarah terkenal, Franco Dragone selama dua jam tanpa henti itu yang dipertontonkan dalam ruangan kolam komersial terbesar di dunia tidak boleh dilepaskan jika berkunjung ke sini.

Hal ini kerana ia dipenuhi aksi akrobatik seperti terjun dari ketinggian 30 meter dalam pertunjukan kesan khas seperti kebakaran, air dan aksi lagak ngeri bermotosikal.

Malah, kolam ini yang mampu menampung kira-kira 3.7 juta gelen air lengĂ‚­kap dengan arena teater berkeluasan pemandangan 270 darjah dan tinggi lebih 30 meter mampu mencorakkan aksi menarik serta boleh menampung kira-kira 2,000 penonton.


Satu lagi tempat menarik yang boleh dilawati adalah Senado Square yang menghimpunkan pelbagai jenama tempatan dan antarabangsa pasti menggembirakan mereka yang suka membeli-belah.

Bangunan di Senado Square menerapkan seni binaan Portugis yang sememangnya menarik minat pengunjung untuk mengabadikan kenangan dalam gambar.

Pengunjung juga boleh melawat KaiKai (panda jantan) di Macau Giant Panda Pavilion, berkunjung ke Muzium Macau, Galeri Raja Pop, Michael Jackson yang terletak di Hotel Sofitel dan Muzium Grand Prix

Jika mahu cabaran lebih ekstrem, jangan lepaskan peluang melakukan terjunan 'bungee' dan sky walk dari dek pemerhati Menara Macau. -myMetro