Rakyat berbilang agama, bangsa dan budaya di Malaysia diminta supaya lebih sensitif dan menghormati kesucian rumah ibadah bagi mengelak sebarang insiden yang mampu mencetus kemarahan masyarakat sesebuah agama.
Meskipun Islam sememangnya meraikan pelbagai agama, bangsa dan budaya, namun segalanya adalah terbatas atas landasan hukum-hakam tertentu yang ditetapkan Allah SWT dan RasulNya, Muhammad SAW.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, tindakan hadir tanpa keperluan yang mendesak dan mencemar sesebuah rumah ibadah mampu mencetus kekecohan serta kemarahan orang ramai.
"Saya minta pelbagai bangsa dan agama menghormati kesucian tempat ibadat orang lain terutamanya orang Islam (masjid dan surau), saya bimbang akan mencetuskan isu sensitiviti.
“Kehadiran (pergi ke surau) tanpa keperluan sewajarnya akan menimbulkan isu sensitiviti, rasa kurang senang, tak puas hati hingga membentuk perpecahan dan rasa marah,” katanya ketika ditanya media di sini, hari ini.
Jamil Khir diminta mengulas mengenai sekumpulan mahasiswa Universiti Utara Malaysia (UUM) termasuk yang bukan Islam menggunakan surau Batu 15 Sintok untuk mengadakan Himpunan Promahasiswa yang dilihat telah mencemar kesucian rumah ibadah Islam itu.
Lebih dikesalkan apabila pelajar bukan Islam yang dilihat tidak menutup aurat semasa berada dalam surau berkenaan langsung tidak ditegur atau ditegah oleh pelajar-pelajar beragama Islam yang turut berada di himpunan kecil tersebut.
Insiden berkenaan kemudiannya dikatakan telah mencetus kemarahan penduduk setempat yang menegur mahasiswa terbabit supaya menghormati surau tersebut dengan mengenakan pakaian yang menutup aurat selepas program tersebut berakhir.
Program berkenaan merupakan program "Jelajah Mahasiswa" yang diadakan pelajar Universiti Malaya (UM) yang diketuai oleh Fahmi Zainol dan dirancang untuk di adakan di Varsiti Mall di dalam kawasan UUM.
Namun ia gagal berlangsung di lokasi tersebut setelah dihalang oleh pihak UUM dengan tegas. -KedahNews.com