Mahu Lulus Cemerlang? Ini Rahsianya...

IBADAH solat sunat Dhuha setiap hari yang diamalkan oleh para pelajar Sekolah Kebangsaan Seksyen 18 (aliran agama Islam) merupakan petua kejayaan pelajar sekolah tersebut acapkali menjelang peperiksaan besar setiap tahun.

Menurut Pengetua SMK Seksyen 18, Siti Khadijah Awang Seman,55, sebagai pentadbir dan seorang guru tiada amalan sebaik solat Dhuha yang merupakan amalan membuka pintu rezeki diterapkan olehnya di sekolah yang mempunyai seramai 1,300 pelajar itu.

“Kejayaan 56 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan tiga calon Sijil Pelajaran Malasyia (SPM) memperoleh semua A merupakan kejayaan yang cemerlang,hasil usaha semua pihak termasuk guru, ibu bapa dan pelajar itu sendiri.

“Amalan solat Dhuha yang kita amalkan setiap pagi di sekolah, menjadi petua kejayaan pelajar-pelajar selain daripada mengulangkaji pelajaran secara intensif dua bulan menjelang peperiksaan sebenar,” katanya.

Siti Khadijah berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menerima Anugerah Pelajar Cemerlang PMR dan SPM 2013 Pencapaian Semua A pada Majlis Anugerah Kualiti Pendidikan Islam dan Anugerah Kecemerlangan Institusi Pendidikan Agama (IPA) Peringkat Negeri Selangor 2014 di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

Yang hadir menyampaikan anugerah ialah Timbalan Pengarah Pengurusan Institusi Pendidikan Agama, Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Wan Ramdzan Wan Mamat.

Pada majlis sama, Wan Ramdzan berkata, pelajar-pelajar aliran agama Islam wajar diiktiraf atas kejayaan mereka, sama ada dalam PMR atau SPM sebagaimana pelajar-pelajar sekolah bukan aliran agama.

“Anugerah yang disampaikan ini bukan sahaja mengiktiraf pelajar dan sekolah yang cemerlang dalam pencapaian peperiksaan PMR dan SPM, malahan kita turut mengiktiraf kejayaan mereka dalam bidang ko-kurikulum.

“Ia diharap mampu memberi motivasi kepada pihak sekolah dan pelajar untuk terus bersaing secara sihat merebut pengiktirafan negeri,” katanya.





Sumber: Utusan