Malukan Martabat Siswa, UM Ajukan 9 Tuduhan

Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Malaya (UM), Fahmi Zainol yang turut bertanggungjawab menjemput Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu pidato di universiti itu dikenakan sembilan tuduhan tatatertib oleh pengurusan universitinya.

Jawatankuasa Disiplin UM menghantar surat rasmi berkenaan sembilan tuduhan itu kepadanya melalui emel yang dikenakan mengikut Seksyen 16B Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971.

Fahmi turut berkongsi notis dakwaan yang diterimanya di laman Facebooknya pada Jumaat lepas.

Tuduhan_1 Tuduhan_2 Tuduhan_3 Tuduhan_4

Pihak universiti akan menjalankan prosiding berkaitan kes Fahmi pada 7 November depan.

Menurut portal Free Malaysia Today (FMT), lapan lagi pelajar yang bersama-sama dengan Fahmi turut didakwa tetapi dengan dakwaan berbeza.

Fahmi dalam insiden itu menjemput Anwar untuk berpidato dalam satu program 40 Tahun : Dari UM Ke Penjara yang dijadualkan diadakan di dalam kampus UM.

Pengurusan universiti menganggap program itu sebagai haram dan boleh menjejaskan reputasi kampus tetapi Fahmi enggan tunduk dan terus tekad menjemput Anwar sehingga terjadinya insiden rempuhan pagar UM baru-baru ini.

Dalam insiden itu, seramai lebih kurang 1,000 pelajar dilaporkan telah merempuh masuk pintu pagar universiti untuk memasuki kawasan Dewan Tunku Canselor bagi mendengar pidato Anwar.

Ahli politik berusia 62 tahun itu turut ditemani isterinya yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan anak perempuan Nurul Izzah untuk menyampaikan ucapannya dalam program anjuran Persatuan Mahasiswa UM itu.

Sumber: Mynewshub.cc