TENNESSEE – Laman sosial popular dunia, Facebook
bakal menerbitkan akhbar digital kepada lebih berbilion pengguna laman
tersebut, sekali gus bakal memberi saingan kepada agensi media tradisi.
Langkah itu diambil sejajar dengan peningkatan penggunaan media
sosial selain masyarakat masa kini yang telah beralih mendapatkan
maklumat melalui media digital.
Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam satu forum pada awal
November lalu berkata, beliau bercita-cita untuk menjadikan Facebook
sebagai medium berita dan akhbar terbaik kepada setiap individu di
dunia.
Katanya, sebelum ini akhbar menyediakan maklumat yang sama kepada
semua pembaca tetapi Facebook boleh menyesuaikannya mengikut minat
seseorang selain membawa pelbagai berita dari seluruh dunia, aktiviti
komuniti dan berita terkini mengenai rakan atau keluarga.
“Pendekatan yang dibawa oleh Facebook berbeza dengan akhbar. Sama ada
usaha itu suatu yang baik atau buruk, ia merupakan sesuatu yang akhbar
tradisi tidak dapat lakukan,” kata bekas editor akhbar USA Today, Ken
Paulson yang kini bertugas sebagai Dekan Fakulti Komunikasi Universiti
Middle Tennessee.
Berita yang bakal dipaparkan oleh Facebook kelak tidak lagi
ditentukan oleh wartawan, sebaliknya mengikut kecenderungan dan minat
seseorang pengguna Facebook itu sendiri.
Perkara ini dilihat mungkin akan memberi impak besar kepada
masyarakat kewartawanan, namun pakar-pakar media berpendapat, konsep
berita Facebook adalah lebih kepada menyampaikan apa yang seseorang
mahukan. – AFP