KUALA LUMPUR – Pergerakan Puteri Umno akan menyusun semula 23 bironya
untuk memantapkan kedudukannya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14
(PRU14), kata ketuanya Datuk Mas Ermieyati Samsudin.
Katanya, jumlah biro juga akan dikecilkan menjadi 15 biro sahaja
dengan lebih memberi tumpuan kepada biro-biro berkaitan kepentingan anak
muda seperti latihan, penerangan, media baharu dan menarik keanggotaan
baharu.
“Antara biro yang akan diberi penekanan selepas ini adalah
keanggotaan dan daftar pemilih, penerangan dan pemidato, latihan dan
pengkaderan, media sosial dan digital, ekonomi dan keusahawanan serta
sukan, kebudayaan dan warisan.
“Kita akan buat rombakan selepas tamat perhimpunan agung ini dan akan
memulakan gerak kerja yang dipecahkan kepada tiga fasa bermula pada
tahun depan,” katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat pergerakan
itu di sini, hari ini.
Perhimpunan Agung Umno yang bermula hari ini hingga Sabtu dimulakan
dengan perhimpunan tiga sayap parti itu – Wanita, Puteri dan Pemuda.
Beliau berkata, pergerakan itu menyasar sebanyak 130,000 anggota
baharu dalam tempoh tiga tahun ini dan Ketua Puteri Umno di setiap
negeri diberi tanggungjawab khusus bagi merealisasikan hasrat berkenaan.
“Sehingga tiga hari lepas, kita mempunyai seramai 375,356 anggota dan
usaha berterusan perlu dijalankan dengan berterusan bagi menambah
keanggotaan kepada 500,000 orang menjelang 2018. Saya akan tukar
mana-mana Ketua Puteri Umno negeri yang gagal mencapai sasaran yang
telah ditetapkan.
Selain itu, kita turut melatih kira-kira 1,000 pemimpin Puteri di
peringkat akar umbi untuk menjadi pemidato dan mereka juga ditugaskan
untuk menjawab segala tohmahan yang dilemparkan pembangkang terhadap
polisi serta dasar kerajaan,” katanya.
Mengulas mengenai perhimpunan itu, Mas Ermieyati berkata sebanyak 15
pembahas terdiri daripada seorang wakil mahasiswa dan seorang orang
kelainan upaya (OKU) akan membahaskan ucapan dasar Ketua Puteri Umno
pada esok yang meliputi usul agama, politik, sosial, ekonomi dan
pendidikan.
Selain itu, Puteri Umno juga akan membahaskan tiga ucapan anggota
Majlis Tertinggi Umno iaitu Datuk Seri Idris Haron, Datuk Seri Mohamad
Hassan dan Dr. Mohd Puad Zarkashi. – BERNAMA