MAS: RM0.27 Sen Sesaham Ditentukan Hari Ini

KUALA LUMPUR - Mesyuarat agung luar biasa (EGM) Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) berlangsung dengan lebih 1,000 hadir, termasuk 560 pemegang saham minoriti, pada 11 pagi.

EGM yang penting itu bakal menyaksikan pemegang saham minoriti menerima atau menolak tawaran MAS sebanyak 27 sen sesaham.

Jika mereka menerimanya, MAS akan dinyahsenarai dari Bursa Malaysia sebagai sebahagian daripada proses penstrukturan semula yang bermatlamat memastikan syarikat penerbangan negara itu kembali mencatat keuntungan dalam tempoh tiga tahun.

Mereka datang seawal 9 pagi walaupun kaunter pendaftaran yang dibuka di lobi Akademi MAS di Kelana Jaya dekat sini, dibuka pada 10 pagi.

Mesyuarat itu berlangsung di Aras 2, dengan kawalan ketat pengawal keselamatan, dan media tidak dibenarkan berada di kawasan mesyuarat.

Menurut pegawai MAS, syarikat penerbangan itu tidak akan mengadakan sidang media, sebaliknya hanya akan mengeluarkan kenyataan media selepas mesyuarat berakhir. - Bernama