MARANG – Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya
memberitahu bahawa tahap kesihatannya masih belum pulih sepenuhnya,
sekali gus mempengaruhi penglibatannya dalam aktiviti politik.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, keadaan kesihatannya
juga turut membataskan dirinya untuk menghadiri mesyuarat dalam PR.
“Saya masih belum sihat lagi, masih dalam rawatan,” katanya ringkas
ketika ditemui selepas selesai menyampaikan kuliah pagi di Masjid Rusila
di sini, kelmarin.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat dengan
rakan-rakan PR termasuk Pas sejak berlaku krisis Menteri Besar Selangor
yang telah membawa kepada penyingkiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,
Ogos lalu.
Malah, hubungan Pas dengan parti gabungan, DAP dan PKR turut
dikatakan menjadi agak tegang rentetan isu berkenaan apabila beliau
dikatakan menunjukkan sikap dingin terhadap aktiviti gabungan parti
tersebut.
Beliau bagaimanapun memberi gambaran bahawa perkara itu tidak seperti
yang diperkatakan, sebaliknya mengulangi alasan bahawa faktor kesihatan
dirinya menjadi sebab utama mengapa beliau dilihat bersikap sedemikian.
“Kita dah ada wakil, kita (Pas) ada ramai wakil dalam Pakatan Rakyat,
bukan saya seorang. Tidak boleh letak atas saya seorang, masa tidak
sihat sahaja (saya) tidak hadir,” katanya.
Abdul Hadi sebelum ini dimasukkan ke hospital universiti di Medipol
Universitesi Hastanesi, Istanbul selepas mengadu mengalami sesak nafas
pada Mei lalu.
Sejak itu, kesihatan pemimpin nombor satu Pas itu dilaporkan tidak
begitu baik, namun beliau dilihat masih tetap bersemangat untuk
menyampaikan kuliah pagi yang mengambil masa hampir sejam di Masjid
Rusila di sini, kelmarin.
Dalam pada itu, ketika diminta mengulas mengenai krisis dalaman Pas berikutan kemampuannya ketika ini dilihat semakin merudum, termasuk
menerima desakan rakan-rakan dalam Pas agar beliau meletakkan jawatan
sebagai presiden parti, Abdul Hadi bagaimanapun enggan mengulas mengenai
krisis dalaman yang melanda Pas termasuk desakan tersebut, sebaliknya
beliau memaklumkan, telah mengadakan pertemuan dengan pimpinan Pas bagi
membincangkan mengenainya.
“Kita sudah membuat pertemuan dengan pimpinan Pas,” katanya. - Sinar Harian