Mat Rempit Boleh Cuba Ducati Panigale 899

DUCATI merupakan satu jenama yang cukup besar dalam industri pengeluaran jentera dua roda. Karisma jenama premium dari Itali itu cukup gah walaupun hanya daripada namanya sahaja.

Kekuatan penjenamaan Ducati sering kali dikaitkan dengan tag harga yang eksklusif. Akan tetapi, ramai yang masih tidak menyedari konsep gaya hidup Ducati baharu yang cuba berubah sebagai jenama yang lebih mampu untuk dimiliki.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Ducati cuba memenangi kemampuan dan kuasa membeli kelompok pertengahan.

Sehubungan dengan itu, kini mereka memiliki barisan model yang lebih mampu untuk dimiliki seperti Monster, Hyperstrada, Hypermotard dan yang terbaharu Scrambler.

Secara tidak langsung, Ducati memberi peluang kepada penggemar motosikal untuk memiliki hasil kejuruteraan pengeluar Itali tersebut. Hal ini turut memberi impak terhadap respons permintaan termasuklah model supersports premium Panigale 1199.

Pada awal pengenalan 1199, saya juga menyimpan hasrat untuk memilikinya. Malangnya, apabila meneliti harga pasaran, saya terpaksa mengakui ia bukan berada di dalam graf kemampuan saya.

Selepas menyedari kemampuan pengguna sedikit terbatas kerana faktor harga, Ducati memperkenalkan ‘Baby Panigale’ pada tahun lalu. Puas menunggu peluang tunggang uji Panigale 899, akhirnya Ducati Malaysia mengadakan satu sesi ujian di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Duduk di atas pelana jentera ini, seperti mana-mana motosikal supersports lain posisi menunggangnya adalah menunduk ke hadapan. Menghidupkan enjin L berkembar Superquadro 898cc, bunyi yang terhasil seperti sudah cukup untuk menggambarkan kuasa yang ditawarkan.

Pada sesi pertama, saya lebih cenderung untuk mengenal rentak kuasa jentera ini. Saya bersetuju dengan pihak Ducati yang menyatakan jentera ini ringan dan mudah untuk dikendalikan.

Memasuki pusingan kedua, saya lebih agresif memulas pendikit. Saya menyedari bahawa jentera ini terpaksa menunggu sehingga 6,500rpm hingga 7,500rpm untuk memberi anjakan yang kuat.

Ketika di selekoh, saya perlu menarik 899 ke hadapan untuk mendapatkan sudut selekoh yang lebih tajam pada kelajuan tinggi. Tetapi kelebihannya anda boleh membuka pendikit walaupun masih berada pada sudut condong ketika keluar dari selekoh.

Ketika di laluan lurus, saya berjaya mencecah sehingga 220 kilometer sejam (km/j), bahkan ada rakan lain yang mampu mencecah sehingga 250 km/j. Prestasi brek Brembo Monobloc dengan cakera 320mm berkembar pada bahagian hadapan amat meyakinkan di sepanjang sesi tunggang uji ini.

Secara keseluruhannya, Panigale 899 masih mampu memberikan keseronokan tunggangan walaupun ia tidak terlalu membawa karakter prestasi 1199. Pastinya, faktor rekaan tetap menjadi tarikan utama jentera ini.


Spesifikasi

Ducati Panigale 899

Enjin: 898cc L-Twin Superquadro
Transmisi: 6-kelajuan dengan quickshifter
Kuasa maksimum: 148hp @ 10,750rpm
Tork maksimum: 99Nm @ 9,000rpm
Suspensi: Showa 43mm terbalik BPF (hadapan) , Monoshock Sachs (belakang)
Berat: 169kg
Harga: RM93,888 (tidak termasuk insurans)















Sumber: Sinar Harian