Ketika sedang berjoging dan bersenam di Jalan Kebun Bunga, Pulau
Pinang, seorang wanita dikejutkan dengan penemuan sebuah beg pakaian
berisi mayat tanpa kepala dan kaki.
Pada mulanya, dia melakukan rutin senaman seperti biasa di kawasan
itu sehinggalah tercium bau busuk dari sebuah beg pakaian yang
ditinggalkan di sebuah surau.
Curiga dengan kandungan di dalamnya, wanita tersebut bertindak
membuka begi itu lantas menemui sepasang tangan terjulur keluar selain
kesan darah.
Lantas, dia memaklumkan kepada anggota polis yang bertugas di pondok
berdekatan sebelum membuat laporan rasmi di Balai Polis Pulau Tikus,
Georgetown.
Tidak lama selepas itu sepasukan anggota forensik tiba di tempat
kejadian dan membuat pemeriksaan terhadap mayat mangsa yang berada di
dalam beg.
Memetik kenyataan Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Mior Farid
Al-Atrash kepada sebuah portal, beliau mengesahkan penemuan
tersebut dan siasatan terhadap kes itu sedang dilakukan.
Berdasarkan keadaan mayat, beliau percaya mangsa telah dibunuh dan
mayatnya dipotong di tempat lain sebelum bahagian badan tersebut dibuang
di situ.
Setakat ini, bahagian kepala dan kaki masih belum ditemui. Mayat
mangsa telah dihantar di Hospital Pulau Pinang untuk bedah siasat.
Sumber: Mynewshub.cc