Susulan penerbitan sebuah artikel menerusi kolum Awang Selamat yang
didakwa menghina, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob bertindak
menyaman akhbar milik UMNO, Utusan Malaysia.
Perkhabaran itu didedahkan sendiri akhbar tempatan tersebut menerusi ruangan sama, hari ini.
“Awang sudah menerima surat tuntutan guaman daripada Menteri
Besar Pahang, Adnan Yaakob berhubung tulisan ‘Hebat Sangatkah Adnan’.
Sekadar makluman, tidak molek komen lebih kerana bakal jadi kes mahkamah.”
Surat tuntutan guaman bertarikh 18 November tersebut dihantar
menerusi syarikat guaman Manjeet Sigh Dhillon dengan jumlah tuntutan
sebanyak RM 15 juta.
Mengikut kronologi isu bermula apabila Utusan menyiarkan artikel
mengenai kebanjiran lebih 30,000 pendatang asing tanpa izin, terutama
warga Bangladesh di Cameron Highland.
Adnan kemudiannya membidas artikel tersebut dengan berkata
penulisan itu agenda media untuk menjatuhkan pemimpin selain digunakan
sebagai strategi melariskan jualan bagi mengelakkan syarikat mengalami
kerugian dan ditutup.
Kenyataan tersebut lantas mendapat reaksi kembali daripada akhbar
lidah rasmi UMNO itu menerusi artikel bertajuk, ‘Hebat Sangatkah
Adnan?’.
Dalam artikel di ruangan ‘Bisik-Bisik Awang Selamat’ itu, penulis mengungkap:
“Awang
seperti tidak percaya ada pemimpin bertaraf menteri besar yang berfikir
seperti itu. Inilah masalahnya kalau sudah lama sangat sandang jawatan
dan terleka dalam zon selesa sehingga takut dengan bayang-bayang
sendiri. Ulat pun disangka ular. ”
Awang Selamat turut menulis:
“Adnan rakus menuding jari
terhadap media. Awang selalu mendapat maklum balas termasuk daripada
wartawan banyak organisasi media tentang cara beliau yang kelihatan
angkuh. Tidak boleh menerima teguran – mudah melenting.”
Selain mendakwa survival politik Adnan bergantung pada Sultan Pahang,
penulis pojok terlibat menasihati Adnan agar tidak menjadi liabiliti
dalam UMNO dan berundur.
Sumber: Mynewshub.cc