"Messi Kedah" Terima Pengiktirafan Pemain Muda Harapan, Tahniah Farhan!

KUALA LUMPUR - Mohd. Khairul Azhan Khalid melakar sejarah muncul penjaga gol pertama mendapat pengkiktirafan tertinggi dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan apabila dinobat sebagai Pemain Paling Bernilai 2014, hari ini.

Malah, bintang Pahang itu turut diangkat sebagai Penjaga Gol Terbaik dalam majlis yang menyaksikan Tok Gajah menggondol anugerah Jurulatih Terbaik menerusi Zainal Abidin Hassan, Pertahanan Terbaik, Razman Roslan dan Persatuan Bola Sepak Terbaik.

Kemenangan besar Pahang dalam Anugerah Bola Sepak 2014 didorong oleh kejayaan mereka mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia, selain muncul juara Piala FA.

Juara Liga Super dan naib juara Piala Malaysia, Johor Darul Ta’zim (JDT) pula meraih dua anugerah iaitu Kelab Terbaik dan Kelab Penyokong Terbaik.

Ketua pasukan Kelantan, Mohd. Badhri Radhzi mengekalkan anugerah Pemain Tengah Terbaik, manakala Norfarhan Muhammad dari Terengganu diumum sebagai Penyerang Terbaik.

Bintang sayap berusia 18 tahun yang mendapat jolokan ‘Messi Kedah’, Mohd. Farhan Roslan ditabal sebagai Pemain Muda Harapan, sementara bintang import PDRM, Ali Ashfaq dari Maldives muncul Pemain Asing Terbaik. Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) pula dipilih sebagai penerima Anugerah Fair Play.

Senarai Pemenang Anugerah

Pemain Paling Bernilai: Mohd. Khairul Azhan Khalid (Pahang)

Jurulatih Terbaik: Zainal Abidin Hassan (Pahang)

Penyerang Terbaik: Norfarhan Muhammad (Terengganu)

Pertahanan Terbaik: Razman Roslan (Pahang)

Pemain Tengah Terbaik: Badhri Radhzi (Kelantan)

Penjaga Gol Terbaik: Khairul Azhan Khalid (Pahang)

Pemain Import Terbaik: Ali Ashfaq (Maldives, PDRM)

Pemain Muda Harapan: Mohd. Farhan Roslan (Kedah)

Kelab Terbaik: JDT

Persatuan Bola Sepak Terbaik: PBNP

Kelab Penyokong Terbaik: JDT







Sumber: Utusan