KUALA LUMPUR – Kumpulan AmBank hari ini menegaskan ia sememangnya
menghormati undang-undang Syariah Malaysia selain mematuhi garis panduan
ditetapkan bagi perbankan, insurans dan takaful.
Kenyataannya itu sebagai reaksi terhadap dakwaan Jaringan Melayu
Malaysia bahawa AmBank terbabit dalam usaha menggalakkan amalan Lesbian,
Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT) berikutan usaha samanya dengan
Metlife International Holdings Incorporated.
“MetLife adalah antara syarikat insurans terbesar dunia dan ia
menghormati undang-undang tempatan, tradisi serta budaya di pasaran
perkhidmatannya.
“Kumpulan AmBank, khususnya AmMetLife Insurance Bhd dan AmMetLife
Takaful Bhd, beroperasi dan diurus mengikut undang-undang Malaysia.
“Kami juga tidak menyokong mana-mana amalan yang menyalahi undang-undang, termasuk undang-undang Syariah,” katanya. – BERNAMA