Beberapa waris penumpang pesawat yang hilang itu turut mengadu
menghadapi beberapa kesukaran dalam menyelesaikan pinjaman
perumahan, kereta dan kad kredit milik mangsa.
Aduan tersebut disampaikan kepada Pertubuhan Sukarela Peguam Malaysia
(SukaGuam) yang dalam dilema mengenai apa yang patut dilakukan mengenai
status pesawat yang masih 'tergantung tidak bertali' itu.
Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, beberapa waris telah menemuinya untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung permasalahan yang dihadapi.
Pengerusi SukaGuam, Datuk Khairul Anwar Rahmat berkata, beberapa waris telah menemuinya untuk mendapatkan khidmat nasihat berhubung permasalahan yang dihadapi.
"Mereka datang mengadu masalah pinjaman perumahan, kereta dan kad
kredit milik mangsa. Buat masa ini, mereka hanya dapatkan khidmat
nasihat daripada kami," katanya kepada mStar Online.
Beliau berkata, buat masa ini pihaknya tidak menerima sebarang
permintaan daripada waris yang mahu kes tersebut dibawa ke mahkamah.
"Setakat ini belum ada waris yang mahu membawa kes ini ke
peringkat pemfailan. Sekarang, hanya di peringkat khidmat nasihat
sahaja," katanya.
Bagaimanapun, Khairul berkata, beliau sedia membantu sekiranya ada
waris yang mahukan bantuan guaman bagi menyelesaikan masalah tersebut
dengan segera.
"Insya-Allah kalau mereka datang kami sedia membantu, jika ada waris yang mahu mendapatkan bantuan guaman," katanya.
Khairul yang juga Naib Ketua Pemuda Umno Johor berkata, beliau
akan mengetengahkan isu status MH370 ketika membahaskan ucapan Presiden
pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2014 di Pusat Dagangan Dunia Putra
(PWTC), Khamis ini.
"Insya-Allah, perkara ini akan dibahaskan pada Khamis ini. Kita mahu
status pesawat tersebut dimuktamadkan dengan segera agar waris dapat
meneruskan kehidupan masing-masing," katanya.
Beliau berkata, keputusan untuk memuktamadkan status pesawat tersebut
perlu dibuat dengan mengambil kira pandangan terkini daripada Majlis
Fatwa Kebangsaan dan nasihat pakar yang boleh mengesahkan pencarian
tersebut sudah berakhir.
"Kerajaan juga perlu ambil kira hasil analisis teknologi satelit
yang mengatakan pencarian sudah muktamad supaya suatu tempoh yang
munasabah ditetapkan dalam mengisytiharkan status pesawat itu. Tidak
perlu tunggu tempoh empat atau tujuh tahun untuk mengesahkan kematian,"
katanya.
Jelas beliau, sekiranya terdapat alasan kukuh yang menyokong kepada
keputusan tersebut, sijil kematian bolehlah dikeluarkan dengan segera
bagi memudahkan proses tuntutan insurans dan pampasan kepada waris
mangsa. -mStar