TOKYO – Jika di Malaysia, nasib anjing mungkin adalah lebih baik
apabila sanggup dibelai dan dicium manja menerusi satu kempen amat
kontroversi ‘Saya Mahu Sentuh Anjing’ di Petaling Jaya, Selangor
baru-baru ini namun, di Jepun lain pula cerita sebaliknya.
Pihak berkuasa ‘Negara Matahari Terbit’ itu bingung apabila menerima
laporan lebih banyak bangkai anjing comel ditemui mati dibunuh secara
kejam dan lebih sadis dicampak ke tempat pembuangan sampah di beberapa
lokasi berbeza seluruh Jepun sejak seminggu lalu.
Sehingga semalam, jumlah bangkai mamalia dikategorikan sebagai najis
mughallazah itu menurut ajaran Islam, sudah mencecah 70 ekor, beberapa
hari setelah pihak polis tempatan melancarkan siasatan terbesar bagi
merungkai misteri kes pembunuhan zalim tersebut.
Pegawai penyiasat mendakwa, setakat ini mereka sudah pun menemui
lebih 30 ekor bangkai anjing sepanjang minggu ini berbanding hampir 40
ekor pada minggu lalu yang dijumpai dibuang merata-rata berhampiran
sebatang sungai di wilayah tengah Jepun.
Sebahagian besar bangkai anjing tersebut adalah daripada jenis baka
kecil antaranya Chihuahua dan Toy Poodle yang lazimnya dipelihara
sebagai haiwan jinak dalam rumah oleh golongan berada, kata seorang
pegawai polis tempatan kepada agensi berita Jiji Press.
“Kesemua bangkai haiwan ini ditemui dalam keadaan ngeri dan sudah pun
berbau busuk. Pihak polis sedang menyiasat kemungkinan besar kes pada
minggu ini ada kaitan dengan kes yang sama sepanjang minggu lepas,” kata
pegawai terbabit. – Agensi