ALOR SETAR – Cadangan kerajaan negeri untuk mewujudkan Taman Sains
dan Teknologi Kedah (KSTP) di utara negeri ini adalah sebagai pelengkap
kepada kawasan industri sedia ada di negara ini terutama Kulim Hi-Tech
Park (KHTP) yang berada di selatan Kedah.
Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata berbanding
KHTP, KSTP yang dicadangkan di Bukit Kayu Hitam lebih kepada usaha
menarik institusi penyelidikan, pembangunan dan perekabentuk (RD&D)
sebagai tarikan kepada industri.
Katanya masih banyak sektor industri baharu yang boleh diterokai seperti nanotek dan sebagainya.
“KSTP bukanlah pesaing kepada KHTP atau taman industri yang lain. Ia
akan menjadi pelengkap kepada taman industri lain. Ia tidak tumpu kepada
industri semata-mata. Sebaliknya ia akan menyokong KHTP,” katanya
menjawab soalan tambahan Datuk Amiruddin Hamzah (PAS-Anak Bukit) sewaktu
sesi soalan lisan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari
ini.
Katanya Kedah tidak bimbang dengan saingan dari Pulau Pinang kerana
tahap pengindustrian di negeri tersebut sudah sampai kepada tahap tepu
dari segi tanah.
“Malah sudah ada beberapa pertubuhan bukan kerajaan mewakili
sektor-sektor industri yang beroperasi di Pulau Pinang datang untuk
meninjau peluang di beberapa taman industri sedia ada dan baharu di
Kedah,” katanya.
Terdahulu ketika menjawab soalan asal Amiruddin, Mukhriz berkata
cadangan pembangunan KSTP merupakan antara langkah untuk mempercepatkan
pertumbuhan sosioekonomi di Kedah dan mewujudkan lebih banyak peluang
pekerjaan yang berpendapatan tinggi kepada rakyat Kedah.
“KSTP merupakan estet perindustrian yang menggunakan teknologi tinggi
dan menggunakan banyak tenaga kerja mahir dan separa mahir. Konsep
pembangunan ekonomi yang berteraskan pengetahuan dan teknologi tinggi
adalah penting untuk melonjak ekonomi Kedah selaras dengan sasaran
Negara Berpendapatan Tinggi menjelang 2020,” katanya.
Katanya KSTP mampu melonjak kegiatan industri bernilai tinggi yang
menggunakan tenaga kerja mahir dan separa mahir ke taraf yang lebih
tinggi.
“Jenis industri dan aktiviti ekonominya adalah saling menyokong dan
melengkapi antara satu sama lain. Ini akan diambil kira di dalam kajian
Pembangunan Pelan Induk KSTP.
“Perunding yang dilantik akan membuat pembentangan laporan awal dalam
bentuk pelan konsep kepada Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah
bagi mendapatkan persetujuan mengenai konsep pembangunan
selewat-lewatnya pada Februari 2015,” kata Mukhriz.
Katanya kawasan cadangan pembangunan KSTP ketika ini adalah seluas
678 hektar dan berpeluang untuk dibuat tambahan 95.2 hektar dari Taman
Perindustrian Bukit Kayu Hitam Fasa 3 yang terletak bersebelahan
dengannya untuk digunakan, menjadikan jumlah terkumpul kepada 773.2
hektar.
"Pembangunan KSTP ini bakal memberi banyak manfaat kepada rakyat dan
Kerajaan Negeri.
"Antaranya adalah dengan adanya peningkatan jumlah FDI
(Foreign Direct Investment) dan Domestic Direct Investment (DDI) di
Kedah daripada pelabur-pelabur asing dan tempatan yang berminat untuk
menyertai KSTP ini," katanya.
Katanya ini akan meningkatkan peluang pekerjaan baharu dalam pelbagai
sektor dan peringkat terutamanya pekerjaan yang memerlukan kemahiran
tinggi dan separa tinggi di mana ia akan memberi pendapatan yang lebih
baik kepada rakyat.
“Di samping itu, limpahan ekonomi di kawasan strategik sempadan
Malaysia-Thailand akan mewujudkan sumber perniagaan baharu dan
aktiviti-aktiviti ekonomi yang lain yang dapat menaikkan taraf hidup
penduduk setempat, sekali gus meningkatkan KDNK Negeri,” katanya.
Beliau berkata sektor industri berteknologi tinggi di KSTP juga akan
mengimbangi sektor pertanian asas sebagai aktiviti utama ekonomi negeri
dan sebagai sumber hasil yang mapan dan mampan. – BERNAMA