"Bukan mudah untuk menjalankan bisnes secara dalam talian di rumah apabila ada anak kecil yang perlu diberi keutamaan.
"Bagaimanapun, saya tidak menganggapnya sebagai halangan untuk bekerja, sebaliknya menjadikan saya lebih berdisiplin, konsisten dan bertanggungjawab dalam memenuhi tuntutan sebagai isteri dan ibu," ujar pengasas sabun kolagen jenama Nur-raysa ini sambil menenang-kan bayi di ribanya yang sedang menangis.
Jelas kelihatan ibu muda berusia 22 tahun ini bijak menangani keadaan setiap kali 'berperang' dengan dua cahaya mata yang membesar di depan mata.
Penulis tidak dapat membayangkan bagaimana wanita berniqab dan pemilik nama Nur Aini Zolkepeli bekerja tanpa pembantu kecuali suami dan pada masa sama, anak pula meminta perhatian.
Tatkala penulis memberi salam memasuki kediamannya di Taman Pandan Permai, Kuantan, Pahang, anak sulungnya, Muhammad Rafiq Rayyan, 2, turut mencelah dan mempelawa kami masuk dan bersama sepanjang pertemuan berlangsung biarpun si kecil itu sibuk dengan aktivitinya.
Seorang lagi anaknya, Nur Raisha Raihanah menginjak usia dua bulan dan turut menghiburkan kami dengan alunan tangisannya.
Bagai memahami keadaan yang semakin tidak terkawal, suami Nur Aini, Saiful Anuar Seliman, 29, mengambil alih tugas menjaga anak sementara penulis menemu ramah pemilik jenama sabun itu yang sudah memasuki tahun kedua menjalankan operasi perniagaannya.
"Saya lebih rela bersusah payah berurus niaga di rumah dengan hiruk-pikuk tangisan anak daripada berpisah dengan mereka kerana tuntutan tugas di tempat kerja.
"Sejak awal selepas mendirikan rumah tangga, saya memang berazam untuk memberi tumpuan kepada keluarga dan bisnes dalam talian ini demi kebahagiaan keluarga," kata pemegang Diploma Kejururawatan Universiti Asia Metropolitan, Kuala Lumpur ini.
Bekas pelajar Sekolah Menengah Agama Durian Guling, Marang, Terengganu yang mendirikan rumahtangga ketika masih dalam tempoh pengajian ini membuat keputusan berhenti kerja sebagai juruwang stesen minyak sebelum melahirkan puteri bongsunya.
"Saya mengambil keputusan berhenti kerja melihatkan kesukaran menguruskan anak sulung yang masih kecil dan tugas suami sebagai pemandu jengkaut yang tidak menentu.
"Justeru, lebih baik saya berhenti kerja dan menguruskan rumah tangga daripada menjadi ibu dan isteri yang gagal menguruskan rumah tangga dengan sempurna," katanya yang turut mempunyai pengedar di Jepun dan Singapura.
Ditanya mengenai pembabitannya dalam bidang perniagaan yang tidak seiring dengan diploma diperoleh, Nur Aini menjelaskan, semuanya bermula selepas mengenali seorang usahawan wanita yang mempunyai 10 tahun pengalaman dalam bidang perniagaan produk kecantikan.
"Saya mengenalinya secara tidak sengaja. Dia pula tidak lokek ilmu yang diperturunkan kepada saya mengenai penggunaan bahan semula jadi untuk menghasilkan sabun pencuci muka.
"Antara bahan digunakan ialah rumpai laut, susu kambing, minyak zaitun dan herba tempatan yang diadun dengan begitu halus menerusi penyelidikan dan pembangunan sehingga terhasil sabun kolagen ini," katanya yang berasal dari Dungun, Terengganu.
Sesekali kedengaran tangisan bayi dari dalam bilik membuatkan pertemuan pagi itu sedikit terganggu kerana Nur Aini perlu menenangkan anaknya.
"Beginilah rutin seharian saya, perlu menyiapkan si abang yang agak agresif pada awal pagi, memberinya susu dan membiarkan dia bermain sendirian dengan pengawasan manakala si adik diletakkan dalam buaian.
"Semua ini untuk memudahkan saya menjawab panggilan telefon, membalas pesanan ringkas (SMS), memberi maklumat di Facebook dan melakukan kerja pembungkusan sebelum dipos," katanya yang enggan mengambil pembantu rumah walaupun sibuk menguruskan perniagaan.
Mendirikan rumah tangga seawal usia 20 tahun, Nur Aini sambil mendodoikan si kecil tidak malu menyatakan ia lebih baik daripada berkawan tanpa ikatan sah yang boleh menimbulkan fitnah dalam kalangan masyarakat.
Kesibukannya menguruskan rumah tangga dan perniagaan menyebabkan suami mengambil keputusan berhenti kerja untuk membantunya sepenuh masa.
"Saya bertuah mempunyai suami yang prihatin dengan kesibukan isteri dan menjadi pendorong utama saya memajukan diri dalam bisnes, malah sanggup berhenti kerja beberapa bulan lalu untuk membantu.
"Suami yang menguruskan anak dan rumahtangga, mengambil stok barangan dan membuat pengiriman selain memantau kerja memproses sabun kolagen di bengkel berhampiran rumah kami," katanya yang kini mempunyai lebih 300 rangkaian pengedar dan stokis Nurraysa di seluruh negara.
Katanya, walaupun bekerja di rumah, dia tetap menyediakan jadual kerja yang tepat bagi memudahkannya membahagi masa antara perniagaan dan keluarga.
"Ini penting selain menghasilkan sabun kolagen, saya mempunyai kilang kosmetik yang mengeluarkan set rawatan dan penjagaan wajah di Kedah. Secara tidak langsung ia memerlukan saya mengatur jadual yang sistematik untuk memudahkan urusan di sana," katanya.
Antara cabaran besarnya adalah mendapatkan kepercayaan pelanggan terutama dari segi kualiti produk kerana pengguna tidak melihat terlebih dulu, sebaliknya memesan terus menerusi Internet.
"Alhamdulillah, sepanjang tempoh berniaga, tiada terdengar rungutan tidak puas hati daripada pelanggan, sebaliknya sentiasa mendapat maklum balas positif dan permintaan sentiasa meningkat dari sehari ke sehari.
"Kerja secara manual menyebabkan pengeluaran sabun kolagen agak terhad iaitu kira-kira 2,000 ketul sebulan dan pengedar serta stokis perlu bijak menangani permintaan pengguna," katanya.
Sebagai perancangan masa depan, wanita kecil molek ini bercita-cita memiliki bangunan sendiri untuk dijadikan ibu pejabat, sekali gus menjadi pusat sehenti untuk semua perkara berkaitan perniagaannya.
"Ketika ini jenama Nurraysa semakin dikenali terutama di laman sosial. Walaupun berniqab, ia bukan halangan untuk saya turun padang mempromosikan produk dan tidak punya masalah melayan pelanggan yang bertanyakan produk ini di pelbagai karnival yang disertai," katanya yang kini dalam perancangan akhir mengeluarkan produk suplemen kesihatan dan kecantikan dalam bentuk tablet dengan ramuan semula jadi. -myMetro