Siapa sangka, seorang lelaki yang baru kehilangan kerja pada Ogos
lalu, mendapat ‘durian runtuh’ apabila ditawarkan untuk berbaring selama
tiga bulan oleh NASA dan sebagai upah, dia akan menerima bayaran
sebanyak $18,000 (RM 60,000).
Tawaran tersebut diterima Andrew Iwanicki, sehari selepas dia
kehilangan kerjanya. Dalam prosedur kajian terbaru agensi tersebut,
Iwanicki perlu berbaring di atas satu katil di makmal yang terletak di
Houston, Texas.
“Saya perlu berbaring selama 70 hari untuk membolehkan pakar mengkaji
saya. Setakat ini, saya sudah menghabiskan masa tiga minggu di atas
katil dan masih berbaki 7 minggu di sini.”
Menurut Andrew, kajian yang sudah berlangsung selama tiga tahun itu
bertujuan untuk mengkaji struktur tulang dan otot. 54 individu telah
melalui prosedur tersebut, dan Andrew merupakan subjek kajian terakhir.
“Saya telah memohon untuk menyertai kajian ini setahun lalu, namun
tidak berharap untuk dipilih dari 25,000 pemohon, malah saya juga
terlalu sibuk untuk menjalani prosedur selama 15 minggu.”
Namun, kerana ketiadaan kerja dan tidak melakukan apa-apa, maka dia terus bersetuju ketika ditawarkan.
Andrew juga tidak mengambil masa yang lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi yang hanya memerlukannya berbaring.
“Saya memiliki jadual tugas yang sangat sibuk ketika bekerja dahulu,
jadi tugas ini mudah buat saya kerana hanya perlu mengikut arahan dan
mempunyai banyak masa terluang.”
Namun, pada permulaan prosedur, Andrew berhadapan sedikit kesukaran.
Ketika di awal proses, dia menghadapi sakit di bahagian kepala, leher
dan belakang. Dia juga mengalami kesukaran untuk tidur.
Bukan itu sahaja, dia juga terpaksa menerima kenyataan bahawa dia
perlu membuang air besar menggunakan plastik khas, di atas katilnya
tanpa boleh bangun.
“Saya perlu menerima kenyataan yang tandas terbaru saya juga merupakan ruang tamu, ruang makan dan bilik tidur.”
Kini, Andrew mula menerima cara hidup terbarunya untuk
sekurang-kurangnya beberapa minggu lagi. Bagi menghilangkan bosan, dia
menghiburkan dirinya dengan menonton televisyen dan membaca komik.
Sumber: Mynewshub.cc