(Gambar hiasan) |
SEREMBAN – Seorang penjenayah putus tangan kanan akibat ditetak oleh
tuan rumah yang dicerobohinya di Taman Sikamat Utama di sini, awal pagi
tadi.
Dalam kejadian jam 3.30 pagi itu, empat lelaki bersenjatakan parang
memasuki rumah teres setingkat yang dihuni sepasang suami isteri dengan
memotong besi tingkap.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun,
berkata dua daripada empat lelaki terbabit memasuki sebuah bilik dan
menyerang tuan rumah dengan menumbuk mukanya bertubi-tubi.
Bagaimanapun, katanya mangsa melawan balik dan berjaya mengambil sebilah parang lalu melibas seorang penyerang.
“Penyerang terbabit putus tangan kanan dan melarikan diri dari rumah
itu, tetapi ditemui terbaring di kawasan semak berdekatan. Tiga rakannya
yang lain melarikan diri dengan menaiki sebuah van putih,” katanya di
sini, hari ini.
Beliau berkata, penjenayah terbabit bersama tangan yang putus dan
mangsa yang cedera pada muka dihantar ke Hospital Tuanku Ja’afar
Seremban untuk rawatan.
“Siasatan mendapati pasangan suami isteri yang kerugian kira-kira
RM5,000 akibat kehilangan barang kemas dan wang tunai serta empat
penjenayah terbabit adalah etnik Rohingya dari Myanmar,” katanya.
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan. – BH Online