Raja Bhumibol Adulyadej |
BANGKOK – Polis Diraja Thailand hari ini mengharamkan sebuah buku politik, A Kingdom in Crisis
tulisan seorang wartawan bebas British, Andrew MacGregor Marshall yang
pernah menetap di sini kerana didakwa memfitnah sistem beraja negara
Asia tenggara itu.
Ketua polis Thailand, Jeneral Komisioner Dr. Somyot Poompanmoung
dalam satu kenyataan berkata, kandungan buku tersebut didapati amat
berbahaya kepada keselamatam negara, ketenteraman awam dan memberi
ancaman besar kepada pemerintahan beraja Thailand.
“Buku ini dilarang dijual atau diedar di seluruh Thailand,” tegas
beliau mengulas buku itu yang diterbitkan sebulan lalu oleh firma Zed
Books berpusat di London serta berkata, sabit kesalahan boleh dipenjara
tiga tahun dan denda 60,000 baht (kira-kira RM6,096).
Pemerintah tertinggi Thailand, Raja Bhumibol Adulyadej, 86 tahun,
dilindungi di bawah undang-undang tegas negara itu daripada sebarang
bentuk kritikan yang dikenali sebagai ‘lese mejeste’ dan ia turut meliputi permaisuri, putera mahkota dan kerabat baginda.
Marshall, 43 tahun, aktif menulis artikel mengenai politik Thailand
termasuk pantang larang isu sensitif istana dan pernah dihukum di bawah
akta percetakan yang menegah kritikan ke atas raja sama ada menerusi
laman sosial waima grafiti di dalam tandas awam.
Namun beliau yang dilaporkan hilang kemudian kerana bimbang dikenakan
hukuman penjara dalam reaksi awal menerusi laman Twitter miliknya
mengucapkan terima kasih kepada polis Thailand yang secara tidak
langsung mempublisitikan buku itu. – Agensi