Palsu! PDRM Nafi Beri Kenyataan Isu Perogol Bersiri, Jual Organ

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) berasa kesal kerana masih ada pihak menyebarkan satu kenyataan palsu daripada polis mengenai penjualan organ manusia dan perogol bersiri membabitkan lelaki bernama Faris Farhan Akhlaken Ahmad.

Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Komunikasi Korporat) PDRM, ACP Datin Asmawati Ahmad berkata, kenyataan palsu yang kononnya daripada beliau itu disebarkan secara meluas dalam media sosial.

“Kebelakangan ini berita palsu tersebut disebarkan semula oleh pihak tidak bertanggungjawab hingga membangkitkan kegusaran masyarakat.

“Perkara ini menjadi tambah serisu ekoran kejadian di negara jiran melibatkan percubaan mengirim anggota tubuh manusia yang diawetkan ke Amerika Syarikat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook baru-baru ini.

Menurut Asmawati, PDRM mengesahkan bahawa tiada sebarang maklumat atau laporan polis diterima mengenai penjualan organ manusia dan perogol bersiri di negara ini.

Sehubungan itu, beliau menasihati orang supaya tidak menyebar maklumat paslu berkenaan kerana ia menjejaskan ketenterama awam dan membangkitkan keresahan ramai.