PAS Kedah Desak Penulis Mohon Maaf Segera

ALOR SETAR - PAS Kedah dalam satu kenyataannya hari ini mendesak supaya penulis buku pro-PAS, Mohd Sayuti Omar (MSO) segera memohon maaf secara terbuka atas fitnah yang dilakukan dalam buku terbarunya, "Kejatuhan Kerajaan Pas Kedah: Inside Story".

Menurut Setiausaha Agung PAS Kedah, Musoddak Ahmad, MSO juga didesak supaya memohon maaf pada keluarga mantan Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak yang juga merupakan bekas Pesuruhjaya PAS Kedah, ekoran tulisan buku itu turut melemparkan tohmahan pada pentadbirannya.

"Keputusan dibuat dalam mesyuarat Badan Perhubungan PAS Kedah. Ketetapan menolak buku berkenaan disebabkan fakta dan maklumat dipaparkan tidak tepat dan beri gambaran negatif terhadap sejarah PAS Kedah," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, Musoddak turut menggesa penulis buku itu agar menarik balik buku itu yang kini tersebar meluas di pasaran.

PAS Kedah menjelaskan bahawa keputusan terhadap penulis buku tersebut adalah berdasarkan keputusan bersama di kalangan pemimpin PAS di negeri itu, selaras dengan kehendak satu resolusi wacana anjuran parti itu baru-baru ini.

"Keputusan ini juga selari dengan hasil wacana dalaman anjuran PAS Kedah, Rabu lalu yang menampilkan Ketua Penerangan PAS Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dengan bekas Exco PAS, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai ahli panel," jelas Musoddak lagi.

Musoddak menegaskan bahawa pihaknya kesal dengan fitnah kerana buku itu yang dicetak dan diedarkan secara meluas, selain dikhuatiri cerita tidak benar yang terkandung dalam buku itu kelak akan dirujuk pihak-pihak tertentu.

"Saya bimbang ia membina persepsi negatif generasi akan datang yang mungkin menjadikan buku itu sebagai kajian berhubung perjalanan sejarah PAS Kedah. Buku berkenaan wajar ditarik balik daripada jualan," tegasnya.

Justeru itu katanya, PAS Kedah akan menghantar surat rasmi kepada Mohd Sayuti agar penulis itu memohon maaf selain mengakui terdapat kesalahan fakta, serta perlu memperbetulkan kesalahan fakta tersebut.

Musoddak juga menjelaskan bahawa PAS Kedah sedang bekerjasama dengan Lajnah Guaman PAS Kedah dalam usaha meneliti dan mengkaji penerbitan buku itu dari sudut perundangan.

Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan yang menunjukkan PAS Kedah akan memfailkan saman terhadap MSO buat masa ini.

Sebelum ini, bekas Setiausaha Politik Allahyarham, Muhammad Sanusi pernah mengecam MSO yang dikatakan memutar belit fakta selain cuba menggambarkan PAS Kedah bawah pimpinan Ustaz Azizan yang membentuk kerajaan pada penggal lalu bersikap tidak menghormati pihak lain, terutama DAP.

Dia turut mempersoal niat sebenar di sebalik penerbitan buku tersebut ekoran terdapat percanggahan maklumat dan hanya merujuk kepada sumber yang sangat diragui kredibiliti dan kesahihannya. -KedahNews.com